
PETRA JAYA: Sebanyak 1,422 surat hak milik tanah telah berjaya dikeluarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu sehingga 30 April tahun ini, hasil pelaksanaan inisiatif pengukuran tanah oleh Dayak Bidayuh National Association (DBNA) dengan kerjasama dan nasihat daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata sebanyak 23 kawasan di DUN berkenaan telah diluluskan untuk pengukuran perimeter, dan kesemua kawasan tersebut telah selesai diukur.
“Daripada jumlah itu, 19 kawasan telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), manakala 12 kawasan lagi telah diluluskan untuk pengukuran lot individu, yang kebanyakannya didokumentasikan oleh DBNA,” katanya semasa menjawab pertanyaan Dr Simon Sinang (GPS – Tebedu) pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Beliau menambah, daripada 12 kawasan yang diluluskan untuk pengukuran individu, lapan kawasan telah diukur sebahagiannya, manakala empat lagi akan diukur dalam masa terdekat.
“Di bawah program pengukuran kampung tradisional, sebanyak 13 kampung telah diluluskan. Daripada jumlah itu, tujuh kampung telah siap diukur, menghasilkan 1,230 lot tanah yang disertakan dengan surat hak milik, sementara baki enam kampung akan diukur bergantung kepada kesediaan penuntut tanah,” jelasnya.
Menjawab soalan tambahan berkaitan proses pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak selepas kawasan diwartakan di bawah Seksyen 6, beliau menjelaskan bahawa pemilik perlu membuat permohonan bertulis untuk pengukuran lot individu.
“Setelah pengukuran selesai, Jabatan Tanah dan Survei akan menyediakan jadual tuntutan tanah hak adat Bumiputera yang akan dipamerkan di tempat awam seperti surau, gereja, dewan, balai raya dan Pejabat Daerah selama 30 hari,” katanya.
Paparan jadual ini, menurut beliau, bertujuan memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk membuat semakan dan bantahan sekiranya terdapat sebarang kesilapan sebelum surat hak milik dikeluarkan.
Menjawab satu lagi soalan tambahan, beliau turut menjelaskan bahawa bagi kes penuntut tanah yang telah meninggal dunia, waris boleh menguruskan urusan pewarisan melalui proses probet setelah surat hak milik didaftarkan atas nama penuntut asal.
Oleh Amanda L.