
PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang menegaskan bahawa pengiktirafan rasmi majlis perbandaran dan fleksibiliti dalam tadbir urus tempatan merupakan kunci utama kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan berkesan.
Menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan), 2025, beliau berkata pengiktirafan sah terhadap tiga majlis perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) adalah satu langkah penting yang telah lama dinantikan.

“Pindaan ini menghapuskan sebarang kekeliruan dan mengukuhkan status undang-undang mereka sebagai pihak berkuasa perbandaran tunggal dan adalah penting untuk kita mencerminkan realiti semasa pentadbiran di peringkat lapangan.
“Majlis-majlis ini telah lama beroperasi, memberi perkhidmatan kepada populasi bandar yang semakin berkembang, dan mengurus tanggungjawab yang kian meningkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang (RUU) Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan), 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kekaburan dalam status undang-undang boleh menjejaskan aspek kritikal seperti kelulusan perancangan, penyelarasan pembangunan, dan kecekapan dalam pengurusan infrastruktur asas.
Dalam masa sama, beliau turut menyokong pindaan kepada Seksyen 1(2A) Ordinan yang membolehkan Kabinet Negeri membuat pindaan terhadap Jadual Ordinan melalui notifikasi, tanpa perlu membentangkan semula ke DUN setiap kali berlaku perubahan teknikal.
“Mekanisme ini meningkatkan fleksibiliti dan kecekapan memandangkan jadual dalam Ordinan lazimnya merangkumi senarai seperti nama-nama majlis, sempadan, dan pengelasan, elemen yang bersifat pentadbiran dan tertakluk kepada perubahan selaras dengan perkembangan, penggabungan, atau penyusunan semula kawasan bandar kita,” jelasnya lagi.
Susulan itu, beliau menyifatkan pindaan ini sebagai bukti komitmen Sarawak terhadap pemodenan tadbir urus, di mana undang-undang mesti mampu bergerak selari dengan perkembangan kawasan dan keperluan rakyat. -UKAS