KUCHING: Gerbang Umrah Kuching (KUG) menyediakan penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi bermula suku pertama tahun depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, KUG merupakan inisiatif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) yang telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) mengenai KUG pada 6 Oktober lalu.
“ Kami mengunjurkan lebih daripada 200,000 ketibaan pelawat dalam tempoh enam tahun melalui KUG.
“Pengunjung KUG boleh menikmati penerbangan terus ke Jeddah atau Madinah, manakala penerbangan sambungan pula dari Pontianak, Balikpapan, Banjarmasin, Samarinda, Ujung Padang (Makassar), Jakarta, Indonesia dan Mindanao, Filipina untuk menyokong operasi talian utama syarikat penerbangan umrah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abdul Karim berkata, melalui program itu, pengembara boleh terbang dari setiap lokasi masing-masing dan singgah di Kuching untuk pra-lawatan atau sebelum mereka terbang terus ke Jeddah atau Madinah, atau dalam perjalanan pulang.
Sementara itu, beliau berkata Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga 2021 hingga 2035 dilaksanakan seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bagi memacu pemulihan pertumbuhan sektor pelancongan dalam tempoh segera dan juga jangka masa panjang.
Katanya, pelan induk itu bermatlamat mewujudkan strategi serta model perniagaan baharu bagi kedua-dua aspek permintaan dan penawaran dalam industri pelancongan.
“Pelan induk ini bertujuan meningkatkan bilangan pengunjung ke Sarawak dari garis dasar 4.6 juta pengunjung dan RM11.6 bilion perolehan pelancongan pada 2019 kepada 12.7 juta pengunjung yang menyumbang pulangan ekonomi sebanyak RM50 bilion menjelang 2035.
“Usaha ini adalah sejajar dengan aspirasi yang ditetapkan menerusi PCDS-2030,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya akan memastikan agar setiap dasar untuk pelancongan, seni dan budaya menerusi pelan induk itu akan diterjemahkan kepada pelan tindakan secara berperingkat.
“Sektor pelancongan merupakan salah satu sektor penting di bawah PCDS 2030 dengan kerajaan Sarawak mempunyai aspirasi menjadikan negeri ini destinasi utama untuk ekopelancongan dan program perniagaan di rantau ASEAN yang dipacu oleh komuniti yang diperkasakan.
“Ini adalah untuk memulihara warisan, budaya dan biodiversiti tempatan serta menggalakkan pelaburan dan pembangunan menerusi tindakan yang bertanggungjawab,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN