
PETRA JAYA: Cadangan untuk meluaskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) kepada semua pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di universiti seluruh negara, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana berada di luar bidang kuasa kewangan dan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sudah mengenakan yuran yang sangat minimum dan masih mampu ditanggung oleh pelajar, justeru tidak tertakluk kepada skim FTES yang dibiayai kerajaan Sarawak.
“Unimas dan UiTM masih berada di luar bidang kuasa FTES Sarawak. Pelaksanaannya bukan lah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan di bawah dasar semasa.
“Sekiranya skim ini mahu diperluas ke institusi persekutuan secara menyeluruh, ia memerlukan keputusan dasar dan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan khusus kepada institusi pendidikan yang dimiliki negeri dengan pelaburan strategik bagi meningkatkan kualiti pendidikan, memperkukuh kadar kemasukan pelajar dan menyelaraskan program akademik selaras keperluan pembangunan ekonomi negeri.
“Bidang keutamaan termasuk Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), undang-undang, perubatan, perakaunan dan kewangan.
“Kerajaan amat menghargai sokongan serta cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Opar, Tanjung Datu, Tupong, Batu Kitang, Pelagus dan Batu Danau terhadap usaha memperkukuh agenda pendidikan tinggi negeri.
“Maklumat lengkap berhubung FTES akan diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pelancarannya tidak lama lagi,” jelasnya.
Kerajaan negeri disifatkan kekal komited dalam memastikan anak Sarawak mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa beban kewangan, sambil memfokuskan pembangunan bakat dalam bidang strategik demi memenuhi permintaan industri dan agenda pembangunan negeri.
Oleh Masrin Affirah