
PETRA JAYA: Cadangan menambah keanggotaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99 disifatkan sebagai satu langkah bersejarah yang mampu memperkukuh kestabilan politik dan menjadi pemangkin kepada pembangunan holistik, inklusif serta mampan di seluruh negeri.
Menurut Royston Valentine (GPS-Tellian) usul tersebut bersifat strategik dan bersandarkan kepada realiti semasa termasuk keperluan pembangunan wilayah, perubahan landskap demografi serta tuntutan kepada perkhidmatan wakil rakyat yang lebih berkesan.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
“RUU ini adalah ‘gamechanger’ yang akan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan kesinambungan pelaksanaan agenda pembangunan Sarawak jangka panjang seperti yang digariskan dalam PCDS 2030,” katanya.
Menurut beliau, penambahan 17 kawasan baharu dalam komposisi DUN bukan sahaja berperanan untuk menampung peningkatan bilangan pengundi susulan pendaftaran automatik dan pelaksanaan Undi18, malah membolehkan setiap kawasan mendapat perhatian lebih khusus daripada kerajaan.
Tambah beliau, sejak 1985 Sarawak telah beberapa kali menambah jumlah kerusi DUN bagi menyesuaikan struktur pentadbiran dengan perkembangan semasa, termasuk kali terakhir pada 2014 apabila jumlah dinaikkan kepada 82 kerusi.
“Langkah ini bukan sekadar soal angka, tetapi merupakan jaminan kepada suara rakyat agar lebih didengari, terutama dari kawasan luar bandar dan sub wilayah yang masih memerlukan perhatian pembangunan infrastruktur dan sosio ekonomi,” tegasnya.
Royston turut menekankan bahawa peningkatan bilangan ADUN akan membolehkan pengagihan sumber pembangunan menjadi lebih tepat, efektif dan menyeluruh serta seterusnya mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Beliau turut mencadangkan agar persempadanan semula kawasan dibuat dengan mengambil kira faktor geografi, kepadatan penduduk, serta keperluan setempat agar pembangunan lebih saksama dapat dicapai di seluruh Sarawak.
“Penambahan ini juga membuka ruang perancangan berasaskan data yang lebih baik, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar dan pengurusan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Mengakhiri ucapan, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan Ordinan DUN berkaitan komposisi keanggotaan tersebut, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk kekal stabil, progresif dan sejahtera di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud