

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 bukanlah satu langkah ke belakang dalam komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan infrastruktur, sebaliknya ia menegaskan semula iltizam tersebut.
Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS – Lingga), berkata ordinan baharu itu mencerminkan keperluan untuk menyesuaikan pendekatan sedia ada bagi menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang abad ke-21.
“RUU ini tidak menolak asas kewangan sedia ada, sebaliknya membina di atas kerangka yang ditetapkan menerusi Ordinan Tatacara Kewangan (Dana Luar Jangka dan Amanah) 1963,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, semalam.
Menurut Dayang Noorazah, Ordinan 1963 telah menjadi asas pengurusan dana di Sarawak termasuk dana amanah dan Dana Disatukan, di mana penubuhan sesuatu dana hanya boleh dibuat mengikut senarai dalam jadual serta perlu mendapat kelulusan DUN.
Dayang Noorazah turut menjelaskan bahawa pembubaran Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 1985 adalah wajar memandangkan dana tersebut telah mencapai matlamat asal penubuhannya.
“Perubahan zaman menuntut perubahan instrumen kewangan. Mengekalkan dana yang bersifat khusus dan terpisah boleh menyebabkan ketidakefisienan, kelewatan birokrasi serta tidak selari dengan keutamaan semasa,” ujarnya.
Tambahnya, subperkara (6) dalam RUU tersebut membolehkan sebarang isu ditangani secara efektif, manakala Fasal 5 ordinan itu pula memastikan pengurusan kos pentadbiran dilaksanakan dengan lebih cekap.