Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • DUN: Pembinaan rumah kos rendah, sederhana di Jepak diperhebat
  • WILAYAH

DUN: Pembinaan rumah kos rendah, sederhana di Jepak diperhebat

Utusan Sarawak 5 hours ago
ADUN Jepak, Iskandar Turkee semasa sesi soal jawab pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee menggesa agar pembinaan rumah kos rendah dan sederhana diperhebat, khususnya di kawasan Jepak, bagi memenuhi keperluan mendesak golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, permintaan tinggi terhadap rumah mampu milik di kawasan itu jelas membuktikan keperluan untuk kerajaan mempercepat pelaksanaan projek perumahan yang lebih inklusif dan mampan.

“Kita tidak mahu rakyat terus terperangkap dalam kitaran sewa yang membebankan. Mereka memerlukan rumah sendiri, dengan harga berpatutan dan persekitaran yang selesa,” katanya semasa sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) ke-19, hari ini.

Iskandar turut menggesa agar semua jabatan kerajaan, badan berkanun dan agensi berkaitan memberikan komitmen penuh dalam merancang dan melaksanakan projek perumahan rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, lokasi bersesuaian perlu dikenal pasti bagi pembangunan tapak perumahan baharu, termasuk perancangan semula penempatan sedia ada yang sering dilanda banjir.

“Antara cadangan ialah mewujudkan skim perumahan semula dengan pendekatan moden dan lestari, bukan sahaja bagi menyelesaikan isu penempatan, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan setempat yang lebih sistematik,” katanya.

Beliau menambah, penempatan semula penduduk terkesan akibat banjir perlu dilakukan secara terancang dengan penyediaan rumah gantian yang selamat serta dilengkapi infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Dalam pada itu, Iskandar turut menekankan keperluan menambah baik infrastruktur sistem perparitan di kawasan bandar Bintulu, khususnya kawasan yang sering terjejas akibat banjir kilat dan hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Katanya, masalah banjir berulang bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan penduduk, malah turut mengganggu kelancaran aktiviti ekonomi serta pembangunan setempat.

“Insiden banjir seperti yang berlaku baru-baru ini di beberapa kawasan utama termasuk pusat bandar Bintulu menunjukkan bahawa sistem perparitan sedia ada tidak lagi mampu menampung kapasiti semasa. Justeru, pelan tebatan banjir yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan dengan segera,” tegasnya.

Dalam usaha meningkatkan pengurusan bencana dan perancangan pembangunan yang lebih cekap, beliau turut mencadangkan agar penyediaan data utiliti pintar dilaksanakan di peringkat bahagian dan daerah, sekali gus membantu mengurangkan impak banjir terhadap komuniti setempat.

Oleh Amanda L

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: DUN: Pembangunan menyeluruh demi masa depan mampan Tamin
Next: DUN: Rakyat perlukan tindakan segera, bukan janji

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.