Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Pembangunan modal insan sebagai keutamaan untuk kemajuan Sarawak
  • SEMASA

DUN: Pembangunan modal insan sebagai keutamaan untuk kemajuan Sarawak

Utusan Sarawak 3 weeks ago
BAHAS USUL… Safiee Ahmad (GPS-Daro) semasa membahaskan Usul Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad menegaskan pentingnya pembangunan menyeluruh bagi memastikan kemajuan dan kesejahteraan wilayah Sarawak.

Menurut beliau, pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan golongan muda, merupakan keutamaan utama dalam mencapai kemajuan tersebut.

Safiee berkata, pendidikan perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan dunia kini berada dalam era teknologi yang berkembang pesat.

Bagi mencapai matlamat ini, beliau menggesa kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan diperkukuhkan.

“Pembangunan pendidikan harus seiring dengan ledakan teknologi. Kita perlu pastikan anak muda kita sedar tentang kepentingannya agar mereka tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Safiee turut menyentuh usaha memperkukuh ekonomi Sarawak dengan meneroka peluang pelaburan baharu serta melaksanakan langkah-langkah strategik.

Beliau juga menekankan pentingnya kestabilan politik, perpaduan kaum, dan keharmonian sosial demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat terus terpelihara meskipun berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Safiee menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Premier Sarawak yang dilihat berwawasan dan berpandangan jauh dalam membawa Sarawak ke arah kemajuan menyeluruh.

Beliau turut menyebut bahawa hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak adalah elemen penting, terutamanya dalam menyelesaikan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Dalam ucapannya, Safiee turut memberi perhatian kepada keperluan khusus di kawasan Daro. Beliau mencadangkan penubuhan pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) di Daerah Daro bagi mengurangkan kebergantungan kepada pejabat DID Bahagian Mukah.

“Penempatan seorang Jurutera Awam J9 serta dua Penolong Jurutera J5, seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro, amat penting untuk mempercepat dan memudahkan pelaksanaan projek,” jelas beliau.

Mengenai isu perumahan, Safiee memuji pelbagai inisiatif kerajaan seperti Rumah Spektra, Rumah Mampu Milik dan bantuan deposit RM10,000 untuk pembelian rumah pertama.

Bagaimanapun, beliau menyarankan agar kajian terperinci dilakukan bagi mengenal pasti keperluan sebenar rumah mampu milik di setiap daerah, supaya perancangan perumahan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Safiee juga membangkitkan isu penolakan permohonan pinjaman perumahan Mutiara Mortgage oleh pemohon berpendapatan rendah.

“Saya ingin mendapat penjelasan – berapakah peratusan permohonan yang ditolak dan apakah faktor sebenar yang menyebabkan permohonan tersebut gagal? Ini penting supaya penyelesaian dapat dicari dan lebih ramai rakyat dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Hospital baharu Lundu perlu disegerakan, fasiliti sedia ada tidak lagi sesuai
Next: DUN: Bekalan elektrik berterusan perlu disegerakan demi kesejahteraan penduduk luar bandar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.