PETRA JAYA: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengadakan pelbagai langkah proaktif bagi menangani isu jangkitan Hepatitis B di kawasan Serian.
Timbalan Menterinya, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, Pejabat Kesihatan Bahagian Serian telah melaksanakan beberapa langkah kawalan kesihatan awam bagi membendung isu tersebut.
“Kes-kes baharu yang dilaporkan akan disiasat dengan rapi, dan kontak rapat disaran untuk menjalani ujian saringan. Pesakit dan kontak rapat juga diberikan pendidikan kesihatan secara individu mengenai bahaya jangkitan Hepatitis B.
“Terdapat pakar Perubatan Keluarga (FMS) yang bertugas untuk memantau dan menguruskan pesakit Hepatitis B di Klinik Kesihatan Siburan dan Klinik Kesihatan Balai Ringin, manakala di Hospital Serian pula ada pakar Perubatan dan Pakar Kanak-kanak.
“Bagi bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap Hepatitis B, suntikan Imunoglobulin Hepatitis B akan diberikan di Hospital Serian untuk mencegah penularan jangkitan secara vertikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Simon Sinang (GPS-Tebedu) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Michael berkata Pejabat Kesihatan Bahagian Serian turut aktif menganjurkan ceramah kesihatan komuniti kepada pelajar sekolah setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya Hepatitis B.
“Selain itu, bagi pasangan yang ingin mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mereka juga digalakkan untuk menjalani saringan praperkahwinan dan mendapat kaunseling kesihatan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Simon Sinang atas sumbangan RM15,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Cawangan Serian sekali gus membantu inisiatif kerjasama antara PBSM dan Hospital Serian yang memberikan saringan Hepatitis B kepada penduduk di kawasan tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan signifikan kes Hepatitis B di Serian pada 2023 adalah akibat aktiviti saringan aktif yang dijalankan serentak pada tahun tersebut.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa virus Hepatitis B adalah penyakit yang mudah berjangkit kerana virus tersebut boleh tersebar melalui sentuhan darah yang tercemar atau cecair badan seperti hubungan seksual, penularan daripada ibu kepada anak, penggunaan jarum yang sama atau melalui pemindahan darah.
“Setakat ini, tiada rawatan khusus untuk Hepatitis B akut. Namun, bagi kes Hepatitis B kronik, rawatan antiviral boleh diberikan untuk melambatkan perkembangan sirosis hati, mengurangkan risiko kanser hati, dan meningkatkan jangka hayat pesakit.
“Penyakit ini bagaimanapun boleh dicegah melalui vaksinasi, di mana Kementerian Kesihatan telah memasukkan vaksin Hepatitis B bagi bayi yang baru lahir dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) di seluruh negara, termasuk Tebedu dan seluruh Sarawak,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal