
PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 sebagai satu langkah yang tepat dalam memastikan pembangunan yang seimbang serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang adil kepada seluruh rakyat Sarawak.
Menurut wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, pertambahan kerusi DUN yang dicadangkan dalam RUU tersebut amat relevan dengan keluasan geografi Sarawak serta keperluan rakyat di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, ia selaras dengan tempoh lapan tahun yang digariskan dalam Perlembagaan Malaysia bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula persempadanan kawasan pilihan raya.
“Persempadanan terakhir diluluskan pada 2014 dan digunakan dalam PRN-11 pada 2016, menjadikan sudah hampir 11 tahun tanpa semakan semula dilakukan.
“Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik menyumbang kepada pertambahan ketara pengundi, menjadikan jumlah pengundi di Sarawak melebihi dua juta setakat Januari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komposisi Keanggotaan DUN 2025 pada Persidangan DUN di sini, hari ini.
Tambah beliau, penambahan kerusi amat wajar memandangkan perbezaan ketara jumlah pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar, selain keluasan geografi dan logistik di Sarawak.
“Meskipun rang undang-undang ini tidak memerlukan sokongan dua pertiga, namun ia wajar disokong sebulat suara sebagai tanda solidariti untuk masa depan Sarawak.
“SPR perlu segera menjalankan kajian semula persempadanan kawasan DUN berdasarkan faktor geografi, demografi, logistik serta struktur pentadbiran negeri,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan agar bilangan kerusi Parlimen Sarawak dan Sabah ditambah kepada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen selaras dengan semangat MA63.
“Prinsip ‘satu orang satu undi’ tidak boleh diaplikasikan secara mutlak di Sarawak kerana faktor keluasan kawasan seperti DUN Daro yang merangkumi tiga bahagian dan empat daerah.
“Mustahil untuk memberi perkhidmatan terbaik di kawasan luas luar bandar tanpa pertambahan wakil rakyat yang dapat mewakili rakyat secara lebih berkesan.
“Penamaan kawasan baharu juga harus mengambil kira sensitiviti tempatan dan kepelbagaian etnik, bahasa serta budaya di Sarawak,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah