
PETRA JAYA: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED) akan memperkukuh penglibatan belia dalam sektor keusahawanan pada 2026 melalui pelaksanaan program latihan intensif, pemantapan kemahiran digital, inisiatif jangkauan serta pengukuhan jaringan mentor di seluruh Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Ripin Lamat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Sarawak dengan kerjasama Institut Koperasi Malaysia (IKMA) Zon Sarawak serta Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) telah memainkan peranan penting dalam memperkasa sektor koperasi.
Beliau berkata, pejabat residen, pejabat daerah, pemain industri dan pihak swasta turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran mengenai potensi perniagaan koperasi di kawasan luar bandar.
“Sehingga Oktober 2025, sebanyak 67 program promosi dan pembudayaan koperasi telah dilaksanakan oleh SKM di seluruh Sarawak.
“14 pejabat operasi SKM di Sarawak sentiasa bersedia turun padang membantu penubuhan dan pendaftaran koperasi di peringkat kampung dan rumah panjang.
“Sekiranya Beting Maro memerlukan program khas bagi meningkatkan penglibatan belia dalam perniagaan koperasi atau sektor keusahawanan lain, MySED bersedia bekerjasama untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Razaili Gapor (Beting Maro-GPS) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perancangan kementerian bagi 2026, beliau berkata MySED akan melaksanakan beberapa program utama termasuk Sarawak Youth StartUp (SYstartUP) Kohort 3, yang merupakan kolaborasi bersama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Sarawak serta Persekutuan.
“Program ini menumpukan latihan intensif keusahawanan, bimbingan mentor dan bantuan kewangan dengan penekanan kepada kemahiran asas perniagaan, digitalisasi dan akses pembiayaan.
“Selain itu, Program Youth Entrepreneur Setup 3.0 (YES 3.0) akan diteruskan bagi memupuk minat belia dalam keusahawanan termasuk bidang usahawan teknologi, usahawan tani, perusahaan sosial dan industri kreatif melalui kerjasama dengan MINTRED, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
” Inisiatif Perniagaan Pemula 2.0 juga akan diperluas ke enam lagi lokasi pada tahun 2026 bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti alumni SYstartUP melalui latihan praktikal pemasaran digital dan literasi IT,” jelasnya.
Bagi memperkukuh inovasi perniagaan, pertandingan Idea Perniagaan Belia Sarawak (SaYBIC) 2026 akan dianjurkan bersama UiTM Sarawak, memberi fokus kepada penyediaan model perniagaan, pemikiran reka bentuk dan sesi pembentangan idea.
“Program BeliaGoBiz, yang menggabungkan elemen keusahawanan, sukan dan pembangunan bakat, turut disasarkan ke lebih banyak lokasi pada 2026.
“MySED juga merancang menubuhkan YOUTHPRENEUR HUB di institusi pengajian terpilih melalui kerjasama awal dengan CENTEXS Commercial dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di samping pembentukan Jawatankuasa Kerja bersama MINTRED bagi memperkasa penglibatan GLC dan sektor swasta dalam pembangunan Startup PMKS,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan terdapat lima cabaran utama yang dihadapi usahawan pemula belia iaitu sikap berada dalam zon selesa, kekangan akses pembiayaan, kekurangan kemahiran dan pengetahuan, keterbatasan jaringan mentor serta isu infrastruktur dan ekosistem perniagaan.
“Melalui pelaksanaan program strategik dan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi, MySED komited membantu belia Sarawak membangunkan potensi keusahawanan dan menjana pendapatan secara mampan,” tegasnya.
Oleh Masrin Affirah