
PETRA JAYA: Kerjasama antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petronas diharap dapat dimuktamadkan dengan segera, kata Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Yang di-Pertua Negeri berkata ini kerana ia pasti akan membawa banyak kebaikan dalam pembangunan rantaian industri minyak dan gas di Sarawak untuk kemakmuran bersama negara dan Sarawak.
“Saya bersyukur kerana Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan langkah kerajaan Sarawak untuk melantik Petros sebagai aggregator gas tunggal di Sarawak, yang dibuat di bawah Ordinan Pengagihan Gas 2016.
“Ini kerana kerajaan Sarawak mempunyai kuasa eksekutif dan legislatif untuk menggubal undang-undang mengenai elektrik dan pengedaran gas.
“Ini adalah selaras dengan kehendak Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang telah
dilaksanakan melalui Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa Legislatif) 1963 yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan.
“Hak perlembagaan ini haruslah dihormati untuk membolehkan Petros melaksanakan peranannya sebagai aggregator gas bagi memastikan pembangunan industri gas di Sarawak terus menyumbang kepada ekonomi negara dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Katanya, pelantikan Petros sebagai aggregator gas tunggal mampu memastikan pembangunan industri gas di Sarawak terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dan meningkatkan nilai tambah dalam sektor tenaga, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Petros yang ditubuhkan oleh kerajaan Sarawak pada 2017, memainkan peranan penting dalam memastikan hak dan kepentingan negeri dalam industri minyak dan gas dipelihara serta dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.
Oleh Masrin Affirah dan Amanda L.