Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: MMKN diperkasa bagi hadapi pembangunan pesat negeri – Yakub Arbi
  • SEMASA

DUN: MMKN diperkasa bagi hadapi pembangunan pesat negeri – Yakub Arbi

Utusan Sarawak 1 hour ago
YAKUB Arbi (Balingian-GPS) ketika berucap pada pada persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, Petra Jaya. Foto UKAS

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 disifatkan sebagai usaha penting dalam memperkemas jentera pentadbiran negeri, sekali gus memastikan Sarawak terus bergerak seiring pembangunan pesatnya, kata Yakub Arbi (Balingian-GPS) ketika menyatakan sokongan penuh terhadap pindaan berkenaan.

Dalam perbahasannya, beliau menegaskan bahawa cadangan menambah anggota dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bukan sekadar penyesuaian teknikal tetapi keperluan strategik bagi meningkatkan keupayaan tadbir urus kerajaan negeri yang kini berhadapan bidang tugas lebih luas dan kompleks.

Menurutnya, perkembangan pesat melibatkan tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen, industri hijau, pengurusan karbon, transformasi digital, pembangunan wilayah, keselamatan makanan, pertanian moden serta penaiktarafan utiliti, pengangkutan dan program kesejahteraan rakyat menuntut kapasiti pentadbiran yang lebih besar dan tersusun.

Pindaan terhadap Perkara 6(c) yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas nasihat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk melantik sehingga empat anggota tambahan dalam MMKN, jelas beliau, adalah selari dengan peruntukan Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ini sekali gus menegaskan peranan MMKN sebagai teras penting dalam struktur pentadbiran negeri.

Yakub berkata, penambahan anggota tersebut akan memperkukuh keupayaan kabinet negeri dalam menangani sektor baharu, meningkatkan penyelarasan dasar, memperkemas pelaksanaan inisiatif negeri serta mempercepat agenda pembangunan khususnya di kawasan luar bandar dan wilayah yang masih memerlukan tumpuan.

Beliau turut menyatakan bahawa di bawah kepimpinan Premier Sarawak sedang melakar pembangunan berorientasikan masa depan, termasuk bidang seperti hidrogen, teknologi pintar, kecerdasan buatan dan tenaga boleh diperbaharui.

Justeru, pentadbiran yang lebih mantap dan responsif amat diperlukan bagi memastikan Sarawak kekal tangkas dan berdaya saing.

Mengakhiri perbahasan, beliau yakin pindaan ini akan membawa manfaat menyeluruh kepada rakyat, termasuk di Balingian, melalui koordinasi pembangunan yang lebih baik, pembahagian tugas kementerian yang lebih jelas serta pelaksanaan dasar yang lebih cekap.

Katanya, struktur MMKN yang diperkukuh akan memastikan pembangunan negeri dapat dirancang dan dilaksanakan secara lebih seimbang, teratur dan menyeluruh di seluruh Sarawak.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: Elaun ahli majlis PBT, ketua masyarakat dinaikkan – Premier Sarawak
Next: DUN: Jumlah menteri akan ditambah kepada 15, banding 11 sekarang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.