KUCHING: Kawasan Maludam dan Triso sudah dibekalkan dengan air terawat yang berterusan dari Loji Rawatan Air Maludam.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan berkenaan, satu projek jangka masa pendek telah dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.
“Nilai projek tersebut ialah RM10.25 juta. Kapasiti loji ini ialah 4.5juta liter sehari dan projek ini dijangka memberi manfaat kepada 1, 174 isi rumah di kawasan Maludam dan Triso,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri pagi ini.
Mengenai status Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi Lingga, Abdul Rahman berkata tiada projek SAWAS dilaksanakan dalam DUN Lingga.
“Namun demikian , terdapat satu projek SAWAS sedang dilaksanakan di daerah Lingga iaitu di Banting (dalam DUN Bukit Bengunan) yang kini dalam peringkat pelaksanaan dengan kemajuan fizikal sebanyak 10 peratus dan dijangka siap pada awal 2024,” katanya lagi.
Oleh NUR AIN OTSMAN