
PETRA JAYA: Majlis Adat Istiadat Sarawak kini giat menyemak semula dan memodenkan pelbagai kod adat masyarakat peribumi di negeri ini termasuk adat Iban, Bidayuh, Kayan-Kenyah, Lun Bawang, Bisaya dan Melanau bagi memastikan ia kekal relevan dengan perkembangan semasa tanpa mengabaikan nilai budaya asal.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai (GPS-Kakus) berkata, antara fokus utama semakan ialah aspek berkaitan struktur keluarga, penempatan komuniti, pemilikan harta dan adat-adat khusus lain.
“Bagi Adat Iban 1993, tiga bengkel telah diadakan melibatkan pemimpin masyarakat dari seluruh bahagian di Sarawak bermula Mac hingga April tahun ini, bagi meneliti draf semakan adat dan mengesahkan ketepatan data yang diperoleh,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Antara semakan yang dibuat ialah adat berkaitan pengambilan anak angkat yang menurut adat Iban tidak terhad kepada anak bawah umur sahaja, tetapi turut melibatkan pengambilan dewasa oleh pasangan mandul dan pengambilan selepas kematian untuk meneruskan pewarisan rumah (nampung bilik punas).
Bagi Adat Bidayuh 1994 pula, fokus tertumpu kepada adat berkaitan keluarga, penempatan komuniti dan pemilikan harta, termasuk semakan ke atas Adat Parih Ramban (tempoh berkabung).
Kini, sekiranya sesuatu acara hiburan telah dirancang lebih awal, larangan boleh digantung sementara dengan membayar denda adat kepada keluarga si mati.
Sementara itu, kod Adat Kayan-Kenyah 1994 kini sedang diasingkan kepada dua kod berasingan, manakala Adat Lun Bawang 2004 turut melalui proses pemodenan, antaranya cadangan penggantian mas kahwin kerbau hidup kepada bayaran tunai yang dipersetujui kedua-dua keluarga.
“Bagi Adat Bisaya 2004, satu kajian telah diadakan di Limbang pada Februari lalu melibatkan adat kekeluargaan dan harta. Manakala draf adat Melanau kini dalam proses semakan, khususnya berkaitan adat perkahwinan seperti ‘pakan’ dan ‘berian’ yang kekal diamalkan tetapi mungkin disesuaikan dengan nilai kewangan menggantikan barangan ritual yang sukar didapati,” jelasnya.
Seiring peranannya mempromosi dan menyebarkan kefahaman terhadap adat, Majlis Adat Istiadat Sarawak turut melaksanakan lima program kesedaran tahun ini, melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Kuching, Serian, Sibu, Bintulu dan Limbang.
Program itu bertujuan memperkukuh pengetahuan adat dalam kalangan pemimpin masyarakat yang baru dilantik.
Oleh Amanda L.