

PETRA JAYA: Muzium terus menjadi antara destinasi pelancongan utama di Sarawak, dengan jumlah pengunjung mencecah ratusan ribu dalam tempoh beberapa bulan pertama tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan bahawa Muzium Budaya Borneo (BCM) telah mencatatkan sebanyak 73,463 pengunjung dari Januari hingga April 2025 sahaja.
“Selain BCM, Muzium Petroleum di Miri, Muzium Warisan Islam dan Muzium Sejarah Alam turut mencatatkan 124,594 pelawat sejak Januari tahun ini.
“Angka ini menunjukkan bahawa muzium dan galeri kekal sebagai tarikan pelancongan yang signifikan di negeri ini, malah terus relevan kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar.
“Sambutan luar biasa turut diterima pameran Pristine Seas: Bringing The Ocean Back yang dianjurkan bersama National Geographic dari 28 Oktober 2024 hingga 13 April 2025, dengan 93,528 pengunjung direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Jabatan Muzium Sarawak (JMS) juga terus memainkan peranan penting dalam melindungi warisan negeri menerusi penguatkuasaan Ordinan Warisan Sarawak 2019.
“Pada 12 Februari 2025, JMS berjaya mengwartakan 14 tapak sejarah termasuk rumah panjang, tapak pertempuran, monumen serta warisan bawah air seperti Japanese Landing Craft di Pantai Brighton, Miri.
“Antara lokasi lain yang diwartakan termasuk Rumah Panjang Melanau di Kampung Sok, Matu; Sacred Heart Church di Sungai Bawan, Kanowit; Tapak Masjid Bandaraya Kuching; Lombong Arang Batu Brooke di Gunung Ngeli, Simunjan; dan Batu Ritong di Pa’ Lungan, Bario.
“JMS juga menerima lima sumbangan artefak penting termasuk dua topi tradisional Lun Bawang dari era 1960-an yang pernah dimiliki oleh guru Colombo Plan di Limbang, Bill Lavery; sebilah parang lama dari Tebakang, Serian; dan dua pasu seramik dari Santubong,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut bahawa kesemua sumbangan tersebut menjadi bukti penghargaan masyarakat terhadap sejarah dan warisan negeri.
“Kami berharap ia dapat menginspirasi lebih ramai pihak untuk berkongsi koleksi berharga mereka.
“Dalam usaha memperkukuh jaringan global, JMS turut menjalin kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa seperti The British Museum di UK, National Science Museum Thailand, dan beberapa agensi warisan dari Singapura, Perancis dan Hungary.
“Selain itu, JMS terus bekerjasama erat dengan institusi tempatan seperti Unimas, UiTM, UKM, USM dan Universiti Sunway bagi tujuan penyelidikan dan pemuliharaan warisan secara bersama,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah