Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Lebih 200,000 warga emas manfaat skim kesihatan tanpa tunai, KGC berwajah digital mudahkan akses
  • SEMASA

DUN: Lebih 200,000 warga emas manfaat skim kesihatan tanpa tunai, KGC berwajah digital mudahkan akses

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini. 

PETRA JAYA: Usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan warga emas menunjukkan perkembangan signifikan apabila lebih 208,336 warga emas kini menikmati akses rawatan tanpa tunai melalui Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) di 263 fasiliti kesihatan berdaftar di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata peningkatan akses ini membuktikan komitmen kerajaan negeri menyediakan sistem perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan responsif terhadap keperluan warga emas.

Beliau berkata pendigitalan Kad Kenyalang Gold (KGC) yang diperkenalkan pada 29 Oktober lalu turut menjadi pemangkin utama kemudahan perkhidmatan untuk warga emas, apabila mereka kini memperoleh KGC maya secara automatik melalui SarawakPASS sebaik sahaja mencapai usia 60 tahun.

“Pendigitalan KGC bukan sekadar penambahbaikan sistem. Ia memastikan warga emas boleh mengakses manfaat mereka secara serta-merta tanpa proses manual yang memakan masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, hari ini.

Setakat Oktober 2025, Sarawak mempunyai 315,106 pemegang KGC, manakala sebanyak 1,140 rakan niaga strategik telah berdaftar menawarkan diskaun dan kemudahan di bawah program tersebut.

Di samping itu, rangkaian fasiliti sosial untuk warga emas turut diperkukuh melalui 29 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dengan 5,124 ahli berdaftar, serta lapan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) yang mencatat 13,635 ahli sehingga tahun ini.

Katanya, PAWE dan PPWE ini menjadi pusat komuniti aktif yang menyokong penyertaan sosial warga emas dalam pelbagai program berasaskan komuniti.

KPWK juga memberi tumpuan kepada persiapan negeri menghadapi perubahan demografi penuaan melalui pelaksanaan kajian Persediaan Menghadapi Penuaan Sarawak melibatkan 6,094 responden dan penganjuran Persidangan Antarabangsa Sarawak mengenai Penuaan (SICA) 2025 yang menghimpunkan 539 peserta serta pakar tempatan dan antarabangsa.

“Dapatan kajian dan resolusi SICA 2025 memberi gambaran jelas mengenai jurang perkhidmatan, tahap kesediaan negeri serta keperluan generasi akan datang. Ini penting untuk merangka dasar dan pelan tindakan penuaan yang lebih komprehensif,” kata Fatimah.

Tambah Fatimah, usaha pembangunan kapasiti penjaga turut dipertingkat melalui program latihan seperti Kursus Penjagaan Asas Warga Emas, yang sehingga kini melatih 308 peserta dengan 99.7 peratus menyatakan peningkatan kemahiran menjaga warga emas.

Fatimah berkata pelbagai usaha ini sejajar dengan visi kerajaan untuk memastikan warga emas bukan sahaja dilindungi, tetapi terus dihargai sebagai sumber pengalaman dan panduan bagi masyarakat.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: DUN: UNICEF laksana kajian jangka panjang pusat intervensi awal kanak-kanak di Sarawak
Next: 17 ADUN angkat sumpah Pembantu Menteri Sabah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.