
Dato Sri Lee Kim Shin menyampaikan ucapan penggulungan di DUN. Foto UKAS
PETRA JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu akan direka bentuk sebagai hab udara pintar dan futuristik.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata ini akan memanfaatkan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lancar kepada semua pengguna.
“Ia bakal menjadi pemangkin ekonomi jangka panjang Sarawak menerusi pembangunan fasiliti pintar dan berteknologi tinggi sejajar dengan agenda transformasi digital negeri.
“Lapangan terbang ini adalah satu projek infrastruktur strategik yang mencerminkan visi Sarawak untuk meningkatkan kesalinghubungan udara dan memacu pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
“Seiring dengan trend pendigitalan lapangan terbang di peringkat global dan agenda digital negeri, lapangan terbang ini akan dilengkapi pelbagai teknologi canggih.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak telah melantik sebuah perunding antarabangsa secara usaha sama dengan perunding tempatan bagi menjalankan kajian tapak dan kebolehlaksanaan, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam fasa awal perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sebelum ini kerajaan Sarawak mengumumkan akan membina lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang di sini dan disasarkan untuk siap pada 2032.
Lee berkata, fasa seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 akan melibatkan penyediaan pelan induk aerotropolis serta reka bentuk terperinci lapangan terbang baharu tersebut.
“Pelan tersebut akan merangkumi semua komponen kritikal seperti kapasiti terminal, sistem landasan, kemudahan udara dan darat, kesalinghubungan multimodal.
“Ini juga merangkumi potensi pengembangan untuk memenuhi permintaan masa depan penumpang dan kargo,” jelasnya.
Beliau juga berkata bagi keperluan kajian kebolehlaksanaan yang menyeluruh, perundingnya telah pun dilantik.
“Sehubungan itu, sebarang anggaran kos yang realistik hanya dapat ditentukan selepas kajian tersebut disiapkan.
“Pembangunan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak dalam menyediakan infrastruktur asas yang menyokong transformasi ekonomi dan menjadikan Sarawak sebagai hab serantau utama di Borneo,” katanya.
Oleh MASRIN AFFIRAH