
PETRA JAYA: Lambakan kontraktor dari China dalam projek pembangunan utama negeri didakwa semakin menjejaskan kelangsungan syarikat tempatan, terutama kontraktor kecil dan sederhana, menurut Chong Chieng Jen (Padungan-DAP) .
Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri telah melantik banyak syarikat China untuk melaksanakan projek besar seperti jalan raya, jambatan, empangan dan talian penghantaran elektrik, sekali gus menyebabkan kontraktor tempatan terpinggir daripada peluang pembangunan.
“Syarikat-syarikat ini bukan sahaja memperoleh bahagian terbesar peruntukan kerajaan, mereka turut membawa masuk pekerja, peralatan dan bahan binaan sendiri.
“PKS tempatan banyak yang langsung tidak dapat manfaat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Chong turut mendakwa beberapa syarikat asing berkenaan tidak mematuhi peraturan tempatan termasuk lori tanpa permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), papan iklan projek yang tidak mengikut piawaian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta peralatan perlindungan diri (PPE) yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.
Beliau menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Sarawak Energy Berhad menyiasat dakwaan tersebut serta memastikan undang-undang sama dikuatkuasakan ke atas semua kontraktor.
Selain itu, Chong turut menyentuh isu perjudian dan penyalahgunaan dadah yang menurutnya semakin meruncing dan memberi kesan langsung kepada masyarakat serta ekonomi negeri.
“Judi dan dadah sedang merosakkan generasi muda kita. Kerajaan perlu mengambil langkah lebih tegas melalui Majlis Keselamatan Negeri dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri,” tegasnya.
Oleh Shahrul Qaizat