PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha membasmi penyakit rabies melalui pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif strategik melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Wilayah.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sejak rabies diisytiharkan pada 2017, sebanyak 75 kematian manusia telah dilaporkan daripada 82 kes rabies, termasuk tujuh kematian pada tahun ini.
Katanya, 114 daripada 822 sampel haiwan diuji positif rabies setakat 7 November 2024, dengan kes tertinggi dicatatkan di Kuching (74 kes), Serian, Sri Aman, Samarahan, Kapit, Mukah, dan Bintulu turut merekodkan kes positif.
“Bagi menangani situasi ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) melancarkan Operasi Rabies Bersepadu di Kuching, tertumpu kepada kawasan yang mencatat kes rabies manusia tertinggi.
“Operasi itu melibatkan pemeriksaan rumah ke rumah untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan pelesenan anjing, vaksinasi rabies, serta penyingkiran anjing liar secara berfokus.
“Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS), Polis Diraja Malaysia, Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Sarawak, pihak berkuasa tempatan, serta pertubuhan bukan kerajaan.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak 13,757 anjing telah divaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambah Stephen Rundi, bagi meningkatkan keberkesanan, penubuhan Pasukan Veterinar Bergerak (VMT) akan memperluaskan liputan vaksinasi hingga 50,000 anjing setiap tahun.
Selain itu, Sarawak kini berada pada peringkat akhir penubuhan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Sarawak (SAQIS).
Menurut beliau, jabatan ini akan memperketat kawalan biosekuriti bagi mencegah penyebaran penyakit asing ke dalam negeri. Rang undang-undang untuk penubuhan SAQIS dijangka dibentangkan pada 2025.
Dalam perkembangan lain, Stephen Rundi turut menggariskan usaha kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pengurusan sumber air dengan pelaksanaan projek-projek berkaitan kejuruteraan sungai serta pembangunan rangka kerja teknologi bagi meningkatkan keberkesanan infrastruktur.
Katanya, kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) telah melaksanakan pelbagai projek untuk menangani isu hakisan, kawalan banjir, serta pemuliharaan sungai.
“Sebanyak 332 projek berkaitan pembangunan kejuruteraan sungai telah berjaya disiapkan pada 2024 di bawah peruntukan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) dengan kos sebanyak RM84.3 juta,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, terdapat baki projek sedang dilaksanakan dengan sasaran untuk menyelesaikan pembangunan kawasan pantai, pengurusan sistem saliran, kerja penambahbaikan sungai, serta perlindungan hakisan tebing menjelang tahun depan.
Selain itu, kementerian juga memperkenalkan rangka kerja teknologi melalui Program Rangka Kerja Teknologi dan Pemuliharaan Sungai Sarawak, yang melibatkan penggunaan peralatan moden untuk pemantauan, penilaian, dan pengurusan sumber air secara lestari.
“Projek baharu sedang dirancang di bawah beberapa agensi pembangunan, termasuk Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA). Kesemua projek ini kini berada dalam fasa perancangan dan tender akan dibuka secara berperingkat mulai awal 2025.
“Pembangunan infrastruktur yang cekap dan mampan ini bukan sahaja akan membantu mengurangkan risiko bencana alam seperti banjir tetapi juga memastikan sumber air yang lebih terjamin untuk generasi akan datang,” jelasnya.
Oleh Shahrul Qaizat