KUCHING: Sejumlah RM11 juta diperuntukkan sebagai insentif kewangan untuk menjadikan Kuching sebagai pintu masuk dan hab umrah pada 2023.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini dijangka menjana manfaat ekonomi dianggarkan RM16 juta dari segi pelancongan tempatan dan penerimaan pelancongan.
“Kerajaan negeri melalui Lembaga Pelancongan Sarawak akan menjadikan Kuching sebagai pintu masuk dan hab umrah.
“Usaha sedang dibuat untuk meningkatkan sambungan penerbangan. Hubungan antarabangsa dengan Singapura dan Brunei telah diwujudkan semula, manakala rundingan aktif sedang diteruskan dengan pihak berkuasa Indonesia untuk menyambung semula penerbangan terus antara Kuching dan Pontianak sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika membentang usul Belanjawan Sarawak 2023 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abang Johari berkata, memandangkan sambungan penerbangan adalah penting untuk pertumbuhan pelancongan, kerajaan negeri memulakan penubuhan syarikat penerbangan butiknya sendiri untuk memberi perkhidmatan kepada destinasi dari titik ke titik dan membawa lebih ramai pengunjung ke Sarawak.
“ Kami berharap dapat diberikan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) yang membolehkan syarikat penerbangan baharu itu menjalankan perkhidmatan penumpang berjadual,” katanya.
Sementara itu, kata Abang Johari, Sarawak berhasrat untuk menjadi destinasi utama eko-pelancongan dan acara perniagaan, didorong oleh komuniti yang diperkasakan untuk memulihara warisan, budaya dan biodiversiti.
Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga 2021-2035 yang siap baru-baru ini akan berfungsi sebagai pelan hala tuju untuk mengubah Sarawak menjadi destinasi pelancongan pilihan melalui pendekatan yang mampan, termasuk menyediakan peluang ekonomi masyarakat luar bandar.
“Pada 2023, kerajaan negeri akan mempromosikan pelancongan secara agresif melalui pelbagai inisiatif seperti meningkatkan sambungan udara, pembangunan dan menaiktaraf produk dan kemudahan pelancongan.
“Kami akan terus membangunkan tarikan dan kemudahan pelancongan kami serta mengekalkan tempat pelancongan sedia ada untuk meningkatkan lagi keterlihatan dan penjenamaan Sarawak di seluruh dunia.
“ Ke arah ini, sejumlah RM87 juta akan diperuntukkan pada 2023 untuk meneruskan pelaksanaan projek berkaitan pelancongan,” katanya.
Ia termasuk transformasi Limbungan Brooke menjadi Muzium Maritim; Taman Arkeologi Santubong dan Pusat Wallace; Pembinaan Jeti dan kemudahan lain di Santubong untuk Taman Negara Wetland Kuching; Pelancongan Bakau Sadong Jaya; Pembangunan Kandungan Pameran untuk Fort Hose, Marudi; Fort Lily, Betong; Fort Emma, Kanowit; dan Fort Brooke, Julau.
Selain itu, pemuliharaan dan naik taraf Kubu Sylvia, Kapit; peremajaan tepi laut Kuching; Pusat Sokongan Pelancong bagi Lundu dan Sematan; menaiktaraf kemudahan pelancongan di Air Terjun Melasak, Lawas, dan galeri warisan dan Pusat Sumber di Long Terawan.
Oleh NUR AIN OTSMAN