

PETRA JAYA: Kolam Renang Bukit Lima di Sibu yang telah beroperasi sejak 1963 bakal dinaik taraf sepenuhnya bagi menyediakan kemudahan lebih selesa dan boleh digunakan sepanjang masa tanpa mengira keadaan cuaca.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, berkata kerja-kerja naik taraf itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Keadaan struktur bangunan yang semakin uzur menyukarkan penggunaan fasiliti secara optimum.
“Selain itu, faktor cuaca panas turut mengehadkan masa latihan atlet dan penggunaan oleh masyarakat umum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chieng Jin Ek (GPS – Bukit Assek) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurut Gerald, kerja-kerja retrofitting termasuk pembinaan kawasan berbumbung (COLA) dijangka memberi wajah baharu kepada kolam tersebut, menjadikannya lebih kondusif untuk aktiviti sukan dan komuniti.
“Kemudahan ini akan memberi manfaat kepada atlet kerana membolehkan mereka berlatih lebih lama dalam keadaan fizikal optimum, di samping melindungi pengguna daripada sinaran matahari berlebihan dan risiko kulit terbakar,” jelasnya.
Beliau menambah, kolam itu juga akan dijadikan pusat pelaksanaan program komuniti inklusif dan mampan seperti senaman kesihatan, aktiviti sukan tersusun serta inisiatif “Active Ageing” yang memberi fokus kepada kesejahteraan warga emas.
“Fasiliti ini berpotensi menjadi pusat pencungkil bakat sukan akuatik dari peringkat akar umbi dan menggalakkan penyertaan belia dalam gaya hidup sihat,” katanya lagi.
Kolam Renang Bukit Lima kini dilengkapi kolam utama dengan 10 lorong, kolam terjunan, serta kolam khas untuk kanak-kanak, dan pemula sukan renang.
Ia turut menyediakan dua astaka, bilik mandi, tandas, bangunan mekanikal serta sebuah kantin yang sering menjadi tarikan pengunjung.
Kerja naik taraf tersebut dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sukan air serta meningkatkan kesejahteraan komuniti di kawasan tengah Sarawak.
Oleh Amanda L. & Masrin Affirah