
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus komited memperluas akses perkhidmatan kesihatan luar bandar menerusi perancangan pembinaan dan naik taraf Klinik Kesihatan di beberapa kawasan strategik seluruh negeri ini.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak kini dalam proses permohonan penempatan tapak bagi pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Nanga Pelagus di kawasan Pelagus.

“Bagi Klinik Kesihatan Nanga Mujong pula, penilaian ke atas keadaan semasa sedang dijalankan dan jabatan merancang untuk mengemukakan permohonan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih tahun hadapan.
“Bagi kawasan Kalaka, sebuah Klinik Kesihatan Saratok Jenis 3 dicadang untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Rolling Plan Ketiga (RP3).
“Projek Klinik Kesihatan Tebedu Jenis 5 telah pun mendapat kelulusan di bawah Projek Sempadan Jabatan Perdana Menteri dengan pembiayaan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Tambah beliau, bagi kawasan Telian, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Mukah baharu telah dikemukakan di bawah RMK-13 Rolling Plan Pertama (RP1) dan kini menunggu kelulusan.
Beliau mengulas lanjut bahawa terdapat juga perancangan jangka panjang untuk membina Hospital Mukah baharu sebagai pengganti yang dicadang di bawah RP3.
“Perancangan rapi ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman turut menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah