Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Keselamatan, kelestarian diperkukuh melalui pindaan Ordinan Bangunan
  • SEMASA

DUN: Keselamatan, kelestarian diperkukuh melalui pindaan Ordinan Bangunan

Utusan Sarawak 13 hours ago
DATUK Amar Dr Sim Kui Hian berucap ketika membentangkan Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 pada Bacaan Kedua di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak ke-19, di Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Sarawak memperkukuh aspek keselamatan dan kelestarian dalam industri pembinaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Bangunan (Pindaan) 2025 yang dibentangkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hianpada Bacaan Kedua di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pindaan tersebut disifatkannya selaras dengan aspirasi negeri menuju bandar pintar dan lestari di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), selain memastikan dasar pembangunan memberi manfaat kepada komuniti bandar dan luar bandar.

“Pindaan ini akan memperkenalkan standard baharu keselamatan, peraturan serta kelestarian termasuk keperluan bangunan hijau yang menekankan penjimatan tenaga dan reka bentuk mesra alam,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut.

Antara intipati utama RUU berkenaan ialah penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak (SBB) dan Dana Lembaga Bangunan Sarawak bagi mengawal selia amalan pembinaan, mempromosi keseragaman antara pihak berkuasa tempatan serta memperkukuh pembangunan profesional melalui penyelidikan, latihan dan inisiatif bangunan hijau.

Beliau berkata langkah itu juga mewujudkan pendaftaran serta pengawalseliaan pengamal bangunan hijau dengan badan pensijilan dan pengamal berdaftar diwajibkan mematuhi piawaian antarabangsa termasuk pengurangan pelepasan karbon.

“Kita mahu tadbir urus yang lebih telus dan bertanggungjawab, sebab itu jawatan Pendaftar dan Timbalan Pendaftar Bangunan Hijau turut diwujudkan,” jelasnya.

Pindaan itu turut memperkasakan aspek pengawalseliaan profesional melalui pendaftaran dan kawalan disiplin terhadap arkitek, jurutera serta pemeriksa bertauliah bagi meningkatkan keselamatan awam. 

Kuasa kompaun bagi kesalahan pentadbiran juga diperkenalkan bagi mempercepat proses penguatkuasaan.

Semakan baharu Jadual Pertama Ordinan kini memasukkan pengiktirafan terhadap Majlis Bandaraya Miri, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, serta Majlis Daerah Gedong, Siburan dan Sebuyau, selaras dengan perkembangan struktur kerajaan tempatan negeri.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai kerja sektor pembinaan di Sarawak mencecah RM4.9 bilion pada suku ketiga 2025. Kajian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) pula mendapati penggunaan bangunan hijau bersijil di Sarawak masih di bawah 15 peratus, jauh lebih rendah berbanding Singapura dan Australia yang melebihi 40 peratus.

“Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 ini akan mempercepat penerimaan amalan hijau dan menjadi instrumen penting untuk memacu pembangunan moden, selamat dan lestari bagi generasi akan datang,” tambahnya.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Tiada rakyat Malaysia terkesan akibat letusan Gunung Semeru di Jawa Timur
Next: DUN: MA63 tidak boleh sama sekali dibatal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.