

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak merancang untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf beberapa jalan utama yang sering terputus hubungan akibat banjir di kawasan Ngemah secara berfasa, termasuk melalui peruntukan kecemasan dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, berkata tiga laluan utama yang terjejas ialah Jalan Ulu Tuah, Jalan Sungai Urap/Jalan Sedaya Lama dan Jalan Pedai yang masing-masing menjadi nadi penghubung kepada lebih 20 rumah panjang di kawasan pedalaman tersebut.
“Bagi Jalan Ulu Tuah dan Jalan Sungai Urap/Jalan Sedaya Lama, kerja-kerja menaikkan aras jalan di lokasi kritikal akan dicadangkan di bawah peruntukan Emergency Response Works 2025, manakala naik taraf menyeluruh akan dikemukakan di bawah RMK13,” katanya.
Ir. Aidel Lariwoo, berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Anyi Jana (GPS – Ngemah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurut Ir. Aidel Lariwoo, anggaran kos keseluruhan bagi kerja-kerja menaik taraf tiga jalan utama di kawasan Ngemah adalah sebanyak RM105.08 juta.
Jalan Ulu Tuah, jelasnya, yang merangkumi laluan sepanjang 8.10 kilometer dan memberi manfaat kepada 11 rumah panjang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM46.88 juta, manakala Jalan Sungai Urap/Jalan Sedaya Lama yang melibatkan 5.25 kilometer dan tiga rumah panjang dianggarkan menelan kos RM36 juta.
Sementara itu, bagi Jalan Pedai yang sepanjang 3.70 kilometer dan melibatkan lima rumah panjang, kos naik taraf dianggarkan sebanyak RM22.2 juta.
Kerja-kerja awal, ujarnya, melibatkan lokasi-lokasi kritikal di Jalan Ulu Tuah dan Jalan Sungai Urap dianggarkan masing-masing menelan belanja RM275,000 dan RM550,000.
Tambahnya, Jalan Pedai turut dikenal pasti sebagai laluan yang mudah dinaiki air disebabkan aras jalan yang rendah serta ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.
“Kerajaan amat memahami keperluan penduduk luar bandar yang bergantung kepada laluan ini untuk ke sekolah dan rumah panjang masing-masing, dan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan,” ujarnya lagi.