
PETRA JAYA: Sebanyak 82 projek di bawah Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) diluluskan setakat 30 April menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Projek Rakyat, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata keseluruhan projek itu menyediakan sejumlah 7,932 lot kediaman dengan anggaran kos pelaksanaan berjumlah RM1.539 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25 projek siap sepenuhnya, manakala baki 57 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMK-12 serta dalam RMK-13,” katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Awang Tengah berkata sejak 2018, pembangunan infrastruktur bagi skim berkenaan dilaksanakan dengan spesifikasi baharu melibatkan pembinaan jalan berturap, parit konkrit, lot yang ditembok serta sistem retikulasi bekalan air dan elektrik, membabitkan kos purata sebanyak RM150,000 bagi setiap lot.
“Namun, atas dasar keprihatinan kerajaan, bayaran premium tanah ditetapkan tidak melebihi RM2,500 dan boleh dibayar secara ansuran tahunan sehingga tempoh 10 tahun,” katanya
-Bernama