Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Kerajaan Sarawak komited iktiraf hak tanah NCR
  • SEMASA

DUN: Kerajaan Sarawak komited iktiraf hak tanah NCR

Utusan Sarawak 4 days ago
DATUK Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan ketika berucap pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

PETRA JAYA: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan komitmen kerajaan Sarawak dalam mengiktiraf hak ke atas Tanah Adat Bumiputera (NCR) menerusi pelaksanaan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata, sejak program itu dilancarkan pada Oktober 2010 sehingga 30 April 2025, lebih 1.2 juta hektar tanah telah berjaya diukur secara perimeter. Daripada jumlah itu, seluas 935,760 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

“Sebanyak 99,438 lot individu juga telah diukur bagi tujuan pengeluaran surat hak milik. Saya menggesa para pemilik tanah agar hadir semasa proses pengukuran dijalankan supaya dapat mempercepatkan proses pemberimilikan,” katanya pada sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan Sarawak turut meneruskan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah. Setakat ini, sebanyak 82 projek telah diluluskan melibatkan 7,932 lot dengan kos keseluruhan RM1.539 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, 25 projek telah siap manakala baki projek akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” ujar beliau.

Katanya, dalam aspek pembaharuan bandar pula, sebanyak tujuh projek sedang dilaksanakan di Sarawak termasuk di Darul Hana, Sungai Bedaun (Kuching), Kampung Datu dan Kemuyang (Sibu), Kampung Jelutong dan Tatau (Bintulu), serta Padang Kerbau (Miri).

“Setakat 30 April 2025, sebanyak 557 rumah di Darul Hana Fasa I dan II telah diagihkan, manakala 185 rumah di Sungai Bedaun telah diserahkan kepada penerima dan bakinya akan diagihkan dalam masa terdekat,” jelas beliau.

Jelasnya, bagi kawasan Sibu, sebanyak 64 rumah di Kampung Datu Baru dan 117 rumah di Kemuyang telah diserahkan, manakala pengagihan baki unit akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. Projek di Kampung Jelutong dan Tatau pula dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025, dan pengagihan rumah akan bermula awal 2026.

Sementara itu, katanya, pelaksanaan Darul Hana Fasa III sedang giat dijalankan dengan 94 unit rumah kini dalam pembinaan, manakala 749 unit lagi akan dibina di bawah RMK-13.

Tambahnya, dalam usaha memperkasakan pembangunan bandar dan pekan baharu, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM243.89 juta bagi projek seperti Bandar Baru Sebuyau, Simunjan, Daro Fasa II dan Kabong. Selain itu, pusat perkhidmatan sedang dibangunkan di Lingga, Matu, Igan dan Ulu Merapok.

“Medan selera di Metading juga telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pengoperasian,” katanya lagi.

Selain itu, sebanyak 573 unit rumah mampu milik turut diluluskan di bawah RMK-12 dan Projek Rakyat dengan jumlah peruntukan RM247.5 juta. Projek tersebut kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jangan biarkan rumah jadi mangsa – Ketua BBP Sarikei
Next: DUN: Eksport industri perkayuan Sarawak cecah RM625 juta pada suku pertama 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.