
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sedang meneliti beberapa cadangan penstrukturan semula pentadbiran daerah di negeri ini termasuk cadangan menaik taraf beberapa kawasan utama kepada status pentadbiran yang lebih tinggi.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata antara cadangan yang sedang dikaji termasuk menaik taraf Sungai Asap kepada Daerah Apau Koyan, Balingian kepada daerah penuh serta Lawas kepada status bahagian.
Menurut beliau, semua cadangan tersebut masih di peringkat kajian bagi memastikan ia selaras dengan keperluan pembangunan semasa serta kecekapan sistem pentadbiran di kawasan terlibat.
“Tapak projek Pejabat Daerah Kecil Engkilili yang baharu telah diluluskan dan kini sedang berada pada peringkat reka bentuk.
“Pelaksanaan projek ini akan diteruskan mengikut perancangan selepas semua aspek teknikal dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Sementara itu, John Sikie memaklumkan kerajaan negeri mengekalkan dasar sedia ada berkaitan pertukaran hak milik serta permit ‘membawa dan menggunakan’ senapang patah individu.
Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan kawalan serta pematuhan penggunaan senjata berkenaan kekal teratur dan selamat.
Oleh Adele Rissa