
PETRA JAYA: Yap Yau Sin (GPS–Kota Sentosa) menyatakan sokongan padu terhadap Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang disifatkannya sebagai satu langkah strategik dan berwawasan ke arah memperkukuh prinsip keadilan serta keseimbangan perwakilan antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak.
Beliau berkata keluasan geografi Sarawak yang hampir menyamai keseluruhan Semenanjung Malaysia, namun masih jauh ketinggalan dari segi jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana Semenanjung kini mempunyai lebih daripada 500 kerusi DUN merentasi 11 buah negeri, manakala Sarawak, meskipun berkeluasan hampir setara, hanya mencadangkan peningkatan sederhana kepada 99 kerusi.
“Perwakilan bukan satu kemewahan tetapi asas kepada demokrasi yang matang. Apabila sesuatu kawasan menjadi terlalu besar, suara rakyat mudah tenggelam.
“Di kawasan bandar seperti Kota Sentosa, seorang wakil harus melayani hampir 50,000 pengundi, itu bukan sekadar statistik, tetapi satu cabaran harian dalam menyampaikan perkhidmatan dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika berbahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Yap turut menekankan bahawa kuasa menambah jumlah kerusi DUN terletak di bawah Perlembagaan Negeri, khususnya Artikel 14(1)(c) dan bukan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya.
Jelasnya, persempadanan semula hanya akan dijalankan selepas Rang Undang-Undang (RUU) ini diluluskan, melalui proses yang tertakluk kepada semakan awam dan prinsip demokrasi berperlembagaan.
Beliau dalam masa yang sama membidas kenyataan GPS-Padungan dan Pending yang menurutnya cuba mengalih fokus perbahasan dengan isu kerusi Parlimen, sedangkan RUU ini khusus menyentuh komposisi keanggotaan DUN.
“Mereka menolak RUU ini bukan kerana prinsip tetapi untuk menjadikannya isu politik. Itu bukan semak dan imbang, itu penghalang kepada proses pembaharuan. Jika benar mahu memperjuangkan penambahan kerusi Parlimen untuk Sarawak, bawa usul itu di Dewan Rakyat, bukan hanya bersuara di sini,” tegasnya.
Beliau turut menambah bahawa penambahan kerusi di peringkat negeri juga memberikan asas yang lebih kukuh untuk Sarawak menuntut penambahan kerusi Parlimen.
Mengambil kira formula bahawa setiap kerusi Parlimen terdiri daripada dua kawasan DUN, Sarawak berpotensi memiliki hingga 49 kerusi Parlimen berbanding 31 ketika ini.
“Sarawak patut diberi peluang untuk berkembang secara adil. Mengekalkan bilangan kerusi yang lama dalam konteks hari ini bukan neutral, malah satu bentuk kecuaian,” katanya.
Mengakhiri hujahnya, Yap menyatakan bahawa penambahan kerusi ini bukan penamat kepada perjuangan reformasi sistem perwakilan, sebaliknya permulaan kepada satu pentas politik yang lebih saksama dan efektif.
“Kita perlu menyokong RUU ini bukan kerana politik, tetapi kerana prinsip. Ia memberi ruang kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, hubungan yang lebih dekat dengan rakyat, dan akhirnya sebuah DUN yang benar-benar mencerminkan Sarawak hari ini dan bersedia menghadapi masa depan,” ujar beliau.
Oleh Adele Rissa