Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • DUN: Kekurangan infrastruktur asas di Lingga perlu tindakan segera
  • Tengah
  • WILAYAH

DUN: Kekurangan infrastruktur asas di Lingga perlu tindakan segera

Utusan Sarawak 15 hours ago
DAYANG Noorazah Awang Sohor (GPS – Lingga) ketika membahaskan isu pembangunan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

PETRA JAYA: Kawasan luar bandar di Lingga terus berdepan dengan kekurangan infrastruktur asas yang ketara berbanding kawasan sekitarnya, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk pelaksanaan projek pembangunan yang lebih agresif dan menyeluruh.

Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS – Lingga), menyorot isu ketiadaan kemudahan asas di Kampung Temelan Seberang, kelewatan projek jalan menghubungkan Lingga ke Banting, serta masalah hakisan tebing yang mengancam Jalan Seduku–Pekan Lingga.

“Penduduk Rumah Panjang Temelan Ulu dan Temelan Ili sehingga kini masih belum menikmati bekalan air bersih, elektrik, liputan telekomunikasi mahupun jalan berturap,” katanya ketika membahaskan isu pembangunan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

Dayang Noorazah turut menegaskan bahawa lokasi kawasan terbabit yang berhampiran Projek Jambatan Batang Lupar 2 sepatutnya diberi keutamaan dalam penyediaan kemudahan asas yang seimbang demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut meluahkan kekecewaan apabila cadangan pembinaan jalan akses baharu dari Lingga ke Banting sejauh 11.3 kilometer telah ditolak oleh SPA, dengan alasan terdapat laluan alternatif sedia ada.

“Cadangan bernilai RM86.5 juta ini telah lama dikemukakan.

“Laluan baharu tersebut bukan sahaja akan memendekkan masa perjalanan, tetapi turut membuka peluang ekonomi serta memudahkan akses penduduk luar bandar kepada perkhidmatan kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, laluan sedia ada dari Sungai Besar ke Stumbin mengambil masa perjalanan melebihi satu jam dan kurang sesuai untuk kegunaan harian.

Selain itu, Dayang Noorazah turut menggesa agar tindakan segera diambil untuk mengatasi masalah hakisan tebing Sungai Batang Lupar, khususnya di kilometer 4.2 Jalan Seduku–Pekan Lingga, yang kini mengancam struktur jalan tersebut.

“Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer ini digunakan ribuan penduduk setiap hari.

“Jika tidak ditangani, hakisan ini boleh menyebabkan jalan runtuh dan membahayakan keselamatan pengguna,” jelasnya.

Beliau berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat menilai semula keutamaan pelaksanaan projek-projek pembangunan luar bandar, khususnya di kawasan Lingga, demi menjamin pembangunan yang seimbang dan inklusif di Sarawak.

Oleh Amanda L.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: MPS pantau penurapan semula Jalan Teku elak risiko pengguna
Next: DUN: Desak naik taraf infrastruktur, status pentadbiran Belaga demi kesejahteraan rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.