PETRA JAYA: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) masih memerlukan dana sebanyak RM2.8 bilion untuk melaksanakan pengambilan balik tanah bagi 792 projek.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dana yang diperlukan adalah sebanyak RM2.2 bilion bagi 667 projek kerajaan Sarawak dan RM691.92 juta bagi 125 projek Kerajaan Persekutuan.
“Setakat 31 Oktober 2024, terdapat 1,449 projek memerlukan pengambilan balik tanah bagi projek yang pertapakannya telah diluluskan sejak 2018. Sebanyak 657 projek telah diperuntukkan dengan dana berjumlah RM1.37 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, 473 projek melibatkan projek kerajaan Sarawak dengan dana sebanyak RM950.12 juta dan 184 projek Kerajaan Persekutuan dengan dana RM420.84 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Awang Tengah berkata komitmen kerajaan dalam menyelesaikan pengambilan balik tanah dalam tempoh enam bulan adalah bergantung kepada penyaluran dan ketersediaan peruntukan dana dari agensi pelaksana.
Katanya, antara projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan yang melibatkan pengambilan balik tanah ialah Lebuh Raya Pesisir/jajaran utama kedua Sarawak; Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR), Lebuh Raya Pesisir Utara/Trans Borneo, menara telekomunikasi dan talian tranmisi Sarawak Energy Berhad (SEB).
‘Projek-projek ini adalah bertujuan untuk menyediakan prasarana rangkaian infrastruktur lebuh raya dan telekomunikasi secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan di antara kawasan bandar dan luar bandar di Sarawak,” katanya.
“Bagi projek Lebuh Raya Pesisir/jajaran utama kedua Sarawak, dana berjumlah RM220 juta yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak telah membolehkan Jabatan Tanah dan Survei menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 255.6 kilometer,” katanya.
Sementara itu, bagi projek Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 73.8 kilometer, Jabatan Tanah dan Survei memerlukan peruntukan dana sebanyak RM194.45 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi pengambilan balik tanah.
“Kegagalan penyaluran dana bagi pengambilan balik tanah tersebut telah menyebabkan kerja pembinaan jalan yang dijadualkan pada November 2024 tidak dapat dimulakan,” katanya.
Bagi projek SSLR pula, dana berjumlah RM300 juta telah disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Survei. Proses pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang 122 kilometer akan diselesaikan penghujung tahun ini sementara baki sepanjang 275.5 kilometer akan diselesaikan pada 2025.
Bagi Projek Lebuh Raya Pesisir Utara dana berjumlah RM20 juta yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak kepada Jabatan Tanah dan Survei telah menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi jajaran jalan sepanjang enam kilometer pada penghujung 2023.
“Sejumlah RM140 juta dana diperlukan untuk menyelesaikan pengambilan balik tanah bagi baki jajaran jalan sepanjang 82.7 kilometer,” katanya.
Sebagai usaha untuk meluaskan jaringan telekomunikasi di seluruh Sarawak, sebanyak 1,172 tapak menara telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA) sejak 2017 melibatkan menara SMART 600, JENDELA dan CLAWBACK dengan peruntukan yang diperlukan berjumlah RM14.2 juta.
Sehingga 31 Oktober 2024, peruntukan berjumlah RM11.4 juta telah disalurkan bagi pengambilan balik 449 tapak menara telekomunikasi yang telah diluluskan pertapakannya.
Sebanyak 244 tapak menara telah selesai pengambilan balik tanah yang melibatkan keluasan tanah seluas 13.93 hektar dengan jumlah kos keseluruhan pengambilan balik tanah sejumlah RM4.1 juta.
Pengambilan balik tanah bagi baki 205 tapak menara telekomunikasi disasarkan untuk diselesaikan pada 2025.
Di samping itu, jawatankuasa Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah meluluskan tapak bagi 215 struktur komersial dan 65 struktur 5G yang tidak memerlukan pengambilan balik tanah.
“Pengambilan balik tanah untuk talian SEB Sarawak Energy Berhad Transmission Line melibatkan 35 projek dengan tanah seluas 3,131 hektar dengan kos pengambilan balik tanah sebanyak lebih kurang RM351.4 juta.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 20 projek telah selesai pengambilannya melibatkan keluasan tanah 710 hektar dengan jumlah pampasan RM103.9 juta, manakala pengambilan balik tanah bagi baki 15 projek lagi disasarkan untuk diselesaikan pada 2025,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau menyeru kepada semua agensi pelaksana kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan supaya memastikan dana yang mencukupi, disediakan dan disalur dengan segera kepada Jabatan Tanah dan Survei bagi tujuan memuktamadkan proses pengambilan balik tanah.
Oleh NUR AIN OTSMAN