PETRA JAYA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan arahan ‘henti kerja’ untuk cadangan projek kolam penampungan air di tapak kuarters jururawat lama Hospital Umum Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, ini berikutan rayuan Persatuan Warisan Sarawak (SHS).
“JPS telah mengeluarkan ‘arahan berhenti kerja’ pada 7 Ogos 2024, bagi pakej 2 projek pembersihan dan pembinaan kolam penampungan air (juga dikenali sebagai kolam SUStoM) di kuarters jururawat lama.
“Ini berikutan rayuan SHS untuk memelihara kuarters jururawat lama, yang mereka dakwa sebagai bangunan warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan See Chee How (Bebas-Batu Lintang) pada sesi jawapan lisan di sidang DUN hari ini.
Dr Penguang berkata untuk menangani atau menyelesaikan kebuntuan masalah projek itu, sebuah jawatankuasa pelbagai disiplin atau agensi telah ditubuhkan.
“Kita sedang berusaha untuk penyelesaian menang-menang, bagi membolehkan projek itu berjalan seperti yang dirancang, pada masa sama mengekalkan integriti juga sebagai nilai warisan kuarters jururawat lama, di hadapan Hospital Umum Sarawak,” katanya.
Projek itu menimbulkan kontroversi sebelum ini hingga pihak SHS merayu kepada Premier Sarawak.
Ini berikutan tindakan kerajaan mahu meroboh bangunan kuaters jururawat itu untuk memberi laluan pembinaan kolam takungan tebatan banjir kawasan sekitar serta kawasan Hospital Umum Sarawak.
Ogos lalu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata kerajaan Sarawak akan meneliti permohonan SHS yang mahu memelihara bangunan bekas kuarters jururawat yang terletak di persimpangan Jalan Crookshank dan Jalan Tun Abang Haji Openg itu.