PETRA JAYA: Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, menafikan dakwaan Violet Yong Wui Wui (Pending-DAP) bahawa pemberian kontrak bagi 55 unit bas hidrogen untuk Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) tidak mematuhi prosedur yang betul.
Beliau menjelaskan bahawa kontrak bernilai RM122.44 juta tersebut telah dianugerahkan kepada usaha sama SKS Coachbuilders Sdn Bhd dan Sun Credit Sdn Bhd selepas melalui proses tender terbuka yang telus, termasuk penilaian teknikal dan kewangan yang ketat.
“Proses ini mematuhi semua prosedur tadbir urus yang ketat dan tertakluk kepada audit. Tuduhan bahawa proses ini tidak berintegriti adalah tidak berasas dan tidak tepat,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.
Selain itu Lee turut menjelaskan bahawa penyertaan syarikat tempatan tidak diwajibkan dalam tender tersebut, namun usaha sama ini melibatkan Sun Credit Sdn Bhd yang memiliki ekuiti 30 peratus.
“Walaupun Sun Credit memainkan peranan kecil dalam projek ini, mereka bertanggungjawab untuk penyediaan kemudahan sementara. Rakan utama, SKS Coachbuilders, memiliki pengalaman 27 tahun dalam industri bas dan berkeupayaan melaksanakan projek ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha sama tersebut menawarkan cadangan kos terendah, iaitu 34 peratus lebih rendah daripada bidaan kedua terendah, dan memenuhi semua keperluan teknikal, termasuk kerjasama dengan rakan teknologi dari China yang mempunyai rekod cemerlang dalam pembuatan bas hidrogen.
“Tuduhan bahawa syarikat ini tidak memenuhi syarat adalah tidak tepat. Malah, bidaan ini disokong oleh komitmen teknikal dan kewangan yang kukuh,” katanya.
Mengenai kritikan terhadap tiga bas hidrogen yang sedang diuji, Lee menjelaskan bahawa ujian itu bertujuan mengumpul data prestasi dan menentukan spesifikasi untuk bas baharu.
“Tiga bas ini sedang menjalani penyelenggaraan wajib, dan alat gantian dari China dijangka tiba penghujung November. Prestasi bas ini telah membantu kami memperincikan keperluan reka bentuk bagi bas baharu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dakwaan ADUN Pending adalah tidak berasas dan dibuat berdasarkan maklumat yang tidak lengkap.
“Sebagai seorang peguam profesional, ADUN tersebut seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak membuat tuduhan melulu yang boleh mengelirukan orang ramai,”katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT