
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur negeri dengan memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata antara fokus utama adalah pelaksanaan Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (RBTP) yang melibatkan pembangunan 122 jambatan di seluruh negeri, khususnya di kawasan bekas jalan balak.
Menurut beliau, setakat ini empat jambatan telah siap, 52 sedang dalam pembinaan, 11 berada di peringkat tender, manakala 55 lagi di peringkat pra-kontrak.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja meningkatkan rangkaian perhubungan, tetapi juga memastikan rakyat di kawasan luar bandar tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut memainkan peranan penting apabila mengurus pelaksanaan 597 projek pembangunan bernilai RM4.62 bilion di bawah enam agensi pembangunan wilayah.
Projek berkenaan meliputi pelbagai kawasan termasuk Samarahan, Sri Aman, Betong, Rajang Delta, Greater Kuching dan Mid-Rajang dengan status pelaksanaan merangkumi projek siap, dalam pembinaan, tender dan pra-kontrak.
Jelas beliau, kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh jaringan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan dan kemudahan awam bagi memastikan pembangunan lebih seimbang di seluruh Sarawak.
“Usaha ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi untuk memastikan setiap rakyat, sama ada di bandar mahupun luar bandar, menikmati manfaat pembangunan secara adil dan saksama,” katanya.
Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), katanya, akan terus memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg demi memastikan kemajuan dan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan secara berterusan.
Oleh Norman B