
PETRA JAYA: Hubungan erat dan harmoni antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terus menjadi pemacu penting kepada pelaksanaan dasar pembangunan yang menyeluruh di negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hubungan yang akrab antara kedua-dua pihak telah membolehkan pelbagai isu melibatkan hak dan kepentingan Sarawak diselesaikan dengan baik secara rundingan.
“Banyak perkara yang telah diselesaikan hasil hubungan erat ini, khususnya yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.
Wan Junaidi turut menyatakan keyakinan bahawa keikhlasan dan komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri melalui prinsip Malaysia MADANI akan terus menjamin keutuhan semangat Persekutuan yang sebenar.
“Saya berharap semua tuntutan Sarawak dapat diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.
Beliau juga menyeru Kerajaan Persekutuan agar terus memainkan peranan penting dalam membantu mempercepat pembangunan ekonomi, sosial dan keselamatan di Sarawak selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan saksama.
Pada masa sama, beliau yakin pendekatan berteraskan prinsip ‘Segulai Sejalai’ yang diterapkan dalam kerjasama kedua-dua pihak akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang inklusif dan seimbang di negeri ini.
Katanya, hubungan erat antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dijangka terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik serta pemerkasaan hak negeri sebagaimana termaktub dalam undang-undang tertinggi negara.
Oleh Masrin Affirah & Amanda L.