
PETRA JAYA: Projek Hospital Petra Jaya (HPJ) sekali lagi mengalami kelewatan apabila tarikh siap baharunya disemak kepada 23 Februari 2026 susulan kelulusan Perlanjutan Masa (EOT) No. 4, menjadikan ia antara projek kesihatan paling lama tertangguh di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata sehingga 25 Oktober lalu, kemajuan fizikal projek hanya mencapai 84.99 peratus, jauh daripada sasaran siap sebelum Ogos 2025 seperti yang dirancang sebelum ini.
Katanya, kelewatan berulang itu memberi kesan besar kepada kapasiti sistem kesihatan di Kuching memandangkan HPJ merupakan projek hospital utama yang sepatutnya menampung sebahagian beban perkhidmatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), termasuk rawatan pakar, pesakit luar dan kes-kes klinikal berkeperluan tinggi.
“Hospital Petra Jaya adalah projek yang sangat dinantikan rakyat. Kelewatan berulang ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia menjejaskan perancangan jangka panjang sistem kesihatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri ke-19 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim turut mendedahkan bahawa 65.9 peratus klinik kesihatan di Sarawak masih berada dalam keadaan daif, meskipun terdapat peningkatan berbanding 76.4 peratus pada tahun sebelumnya hasil pelaksanaan inisiatif Bitara Madani sejak 2023.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM100 juta kepada Sarawak bagi menaik taraf infrastruktur asas serta peralatan klinik kesihatan, selain RM5.2 juta untuk aset rendah nilai dan kelengkapan fasiliti lain bagi tahun 2025.
Enam fasiliti daif telah dikenal pasti untuk dinaik taraf secara menyeluruh, merangkumi Klinik Kesihatan Biawak di Lundu, Klinik Kesihatan Tepus di Selangau, Klinik Kesihatan Kuala Lawas di Lawas, Klinik Kesihatan Tun Abang Haji Openg di Subis, Klinik Kesihatan Tanjung Bijat di Sri Aman serta Wad Isolasi Jabatan Kecemasan SGH.
Semua projek itu kini berada di peringkat pra-pelaksanaan.
Selain itu, dua Klinik Rintis baharu iaitu KK Nanga Atoi dan KK Nanga Ngungun sedang dibangunkan dengan kos RM12.8 juta.
Klinik di Nanga Atoi dijangka siap hujung tahun ini manakala klinik Nanga Ngungun dijangka siap pada suku ketiga 2026.
Dr Sim berkata usaha menaik taraf fasiliti daif dan pembinaan klinik baharu amat penting untuk memastikan rakyat luar bandar dan pedalaman tidak terus ketinggalan dari segi akses kesihatan, terutamanya apabila banyak klinik lama beroperasi dalam keadaan fizikal yang tidak lagi selamat atau memenuhi standard semasa.
“Isu fasiliti daif ini bukan perkara kecil. Ia melibatkan keselamatan pesakit, kualiti rawatan dan kemampuan petugas memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kita memerlukan sokongan persekutuan yang konsisten untuk mempercepatkan naik taraf klinik di seluruh Sarawak,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa penyediaan fasiliti kesihatan yang lebih baik, termasuk memastikan Hospital Petra Jaya akhirnya disiapkan mengikut tarikh baharu, amat penting bagi menyokong tuntutan Sarawak terhadap autonomi kesihatan di bawah MA63, selain memastikan rakyat negeri ini menerima perkhidmatan setaraf negeri lain.
Oleh Adele Rissa