
PETRA JAYA: Jumlah hasil Sarawak bagi 2026, diunjurkan mencecah RM13.1 bilion, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata unjuran itu dicapai walaupun minyak mentah kekal sebagai sumber pendapatan utama.
“Ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding unjuran hasil 2025, mencerminkan ketidaktentuan pasaran komoditi global serta cabaran yang timbul akibat tekanan ekonomi luar.
“Sehingga Oktober 2025, kutipan hasil kita telah mencecah RM10.3 bilion, iaitu 73 peratus daripada sasaran yang diunjurkan bagi tahun tersebut.
“Namun demikian, berdasarkan trend semasa, kita kini mengunjurkan jumlah hasil bagi tahun 2025 mencecah RM12.1 bilion.
“Ini menunjukkan pengurangan sebanyak RM2.1 bilion, atau 15 peratus, daripada unjuran asal sebanyak RM14.2 bilion.
“Faktor utama yang menyumbang kepada kekurangan ini ialah penurunan berterusan harga minyak mentah global, yang berada pada purata AS$69 setong sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 pada hari pertama sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Abang Johari berkata, unjuran hasil negeri tahun depan adalah daripada sumber utama berikut:
(I) Hasil cukai berjumlah RM5.8 bilion atau 44 peratus daripada jumlah hasil dijangka, terdiri daripada:
(a) RM4.6 bilion daripada Cukai Jualan Negeri, termasuk:
• RM3.5 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain;
• RM885 juta daripada minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah;
• RM75 juta daripada loteri;
• RM88 juta daripada produk aluminium;
• RM32 juta daripada ferro-aloi;
• RM26 juta daripada produk kayu;
• RM13 juta daripada polisilicon.
(b) RM650 juta daripada royalti air mentah;
(c) RM226 juta daripada royalti perhutanan dan premium kayu;
(d) RM301 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain.
(II) Hasil Bukan Cukai dianggarkan sebanyak RM6.3 bilion atau 49 peratus terutamanya daripada:
(a) RM2.6 bilion pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas;
(b) RM2.3 bilion daripada pendapatan dividen;
(c) RM811 juta daripada pendapatan faedah;
(d) RM350 juta daripada premium tanah;
(e) RM120 juta pampasan tunai sebagai ganti duti import dan eksais ke atas produk petroleum;
(f) RM150 juta daripada sumber lain termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewaan.
(III) Terimaan Bukan Hasil dijangka sebanyak RM29 juta, terutamanya daripada ganti rugi ditentukan, kompaun, yuran dan penalti.
(IV) Geran dan Bayaran Balik Persekutuan diunjurkan mencecah RM899 juta, terutamanya daripada bayaran interim Geran Khas berjumlah RM600 juta.