KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengkaji pendekatan baharu bagi memendekkan tempoh pembinaan jalan menggunakan konsep ‘Front-End Engineering (FEE).
FEE adalah asas kejuruteraan yang dijalankan selepas siap konsep reka bentuk atau kajian kebolehlaksanaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berkata ia dalam usaha untuk mempercepatkan ranngkaian pembinaan jalan raya ke kawasan pedalaman.
“Selepas meneliti kos pembinaan jalan, kementerian saya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan mengkaji pendekatan baru bagi memendekkan masa pembinaan yang merangkumi pembinaan ‘Front-End Engineering (FEE)’ ini.
“Kementerian saya bersama JKR Sarawak akan terus menambah baik penyediaan infrastruktur asas untuk penduduk luar bandar. Tiada rakyat yang dipinggirkan dan semua orang berhak menikmati kemakmuran ekonomi Sarawak dengan persekitaran mampan dan keterangkuman sosial.
“JKR Sarawak telah menjalankan semakan dalaman mengenai struktur fungsi mereka untuk penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Uggah berkata, sebanyak 5,833 atau 94 peratus daripada 6,214 penempatan berdaftar di kawasan luar bandar berjaya dihubungkan melalui jaringan jalan raya.
Katanya, untuk mencapai 100 peratus, kerajaan negeri perlu membina keseluruhan kira-kira 1,200 kilometer (km) jalan baharu bagi menghubungkan baki 381 penempatan.
“Perhubungan luar bandar amat penting untuk Sarawak bagi membuka peluang pertumbuhan baharu serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi yang lebih baik,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT