
DATUK Mong Dagang (GPS–Bukit Begunan) semasa membahaskan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, hari ini. Foto UKAS
PETRA JAYA: Datuk Mong Dagang (GPS–Bukit Begunan) menggesa agar tindakan segera diambil terhadap bangunan sekolah yang uzur dan tidak digunakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bijat, yang kini dilihat mengancam keselamatan warga sekolah.

Menurut beliau, walaupun sekolah berkenaan sudah mempunyai bangunan baharu yang menggantikan struktur lama, bangunan usang bersebelahan padang bola sepak masih belum dirobohkan.
“Struktur bangunan itu sudah rosak teruk dan membahayakan murid serta guru. Ia boleh runtuh pada bila-bila masa, terutamanya jika berlaku angin kencang,” katanya ketika perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Lembaga Pemeriksa (Board of Survey) telah pun meluluskan perobohan struktur tersebut.
Namun sehingga kini, pihak sekolah belum menerima sebarang arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk melaksanakan perobohan itu.
Mong menambah bahawa beliau telah memperuntukkan dana untuk menambah baik padang bola sepak sekolah tersebut, namun projek itu tidak dapat dilaksanakan kerana risiko keselamatan yang ditimbulkan oleh bangunan uzur tersebut.
“Saya berharap kementerian berkaitan dapat memberikan penjelasan dan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin bagi memastikan keselamatan pelajar serta guru tidak terjejas,” ujarnya.
Oleh Amanda L.