
PETRA JAYA: Sarawak akan melaksanakan kenaikan gaji tambahan sebanyak tujuh peratus untuk penjawat awam negeri tahun depan dengan peruntukan RM56 juta bagi tujuan itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, skim gaji yang disemak semula itu dibuat susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan struktur gaji baharu tahun lalu dan bertujuan membantu pegawai menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Kenaikan ini merupakan pelarasan kedua selepas kenaikan pertama sebanyak lapan peratus yang berkuat kuasa awal tahun ini melibatkan peruntukan RM67 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abang Johari berkata pengukuhan Perkhidmatan Awam Sarawak kekal penting ketika wilayah ini meneruskan agenda pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 PCDS 2030 (PCDS 2030).
“Bagi meningkatkan kemahiran, keupayaan dan kesiapsiagaan penjawat awam, kerajaan memperuntukkan RM48.5 juta pada 2026 untuk program latihan dan pembangunan bakat.
“Peruntukan ini merangkumi pembangunan kemahiran teknikal, latihan dalam perkhidmatan untuk kelayakan profesional, serta program pembangunan kepimpinan dan eksekutif,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan menyokong kesejahteraan mental serta fizikal penjawat awam.
“Untuk itu, RM1.26 juta diperuntukkan bagi program kesejahteraan, imbangan kerja-kehidupan dan kajian berkaitan dasar masa depan seperti kerja hibrid, sokongan keperluan khas serta inisiatif kembali bekerja,” katanya.
Beliau berkata dengan jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang semakin meningkat, kerajaan sedang menyusun semula jabatan dan agensi bagi menghapuskan pertindihan fungsi, memperkemas operasi dan mengukuhkan akauntabiliti.
“Pendekatan ini membantu kita membina kerajaan yang lebih ramping dan tangkas, menumpukan kepada tugas teras, mengurangkan birokrasi dan memberikan hasil yang lebih cepat serta lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Oleh ADELE RISSA