
PETRA JAYA: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) memaklumkan bahawa setakat ini tiada perancangan untuk membina Pusat Keusahawanan Belia serta Inkubator Industri Kreatif di Balingian.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri MYSED, Datuk Dr. Ripin Lamat, sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Abdul Yakub Arbi (GPS – Balingian) Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurut Dr. Ripin, meskipun Balingian tidak terlibat secara langsung, fasiliti berkaitan keusahawanan tersedia di kawasan berhampiran seperti Mukah Digital Innovation Hub yang dikendalikan oleh Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), dan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) di Mukah yang diuruskan oleh SEDC.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) sedang merancang pembangunan Anjung Usahawan Balingian, dengan proses pengambilan tanah bagi projek tersebut telah pun selesai.
Menjawab soalan tambahan daripada Abdul Yakub mengenai perkhidmatan yang akan ditawarkan di Anjung Usahawan Balingian, Dr. Ripin menjelaskan bahawa antara komponen utama yang dirancang termasuk pusat pemprosesan, kiosk jualan, gerai makanan, incubator, dan ruang aktiviti kemasyarakatan.
Tambahnya, sebarang cadangan penambahbaikan boleh diajukan kepada pihak MINTRED untuk pertimbangan lanjut.
Dalam satu lagi soalan, Abdul Yakub turut meminta penjelasan mengenai usaha kementerian dalam memperkasa penyertaan belia dalam bidang keusahawanan. Dr. Ripin menjelaskan bahawa pelbagai program sedang, dan akan dilaksanakan.
Antaranya, Program Jelajah Belia Sarawak dengan kandungan yang dipertingkat bagi meningkatkan kesedaran terhadap peluang keusahawanan.
Pada masa sama, Youth Entrepreneur Setup (YES) 3.0, dijalankan di setiap daerah bagi memberi pendedahan awal mengenai keusahawanan dan proses berkaitan.
Selain itu, Sarawak Youth Business Idea Competition (SAYBIC), anjuran bersama UiTM Sarawak, khusus untuk pelajar institusi pengajian tinggi, dan Sarawak Youth StartUP Development Program, kursus intensif meliputi pelbagai aspek perniagaan.
Jelasnya, Kohort pertama berlangsung pada Disember 2024, manakala kohort kedua dijadualkan pada suku keempat 2025.
Sementara itu, Kerjasama rentas kementerian termasuk MINTRED, KUSKOP dan agensi berkaitan, dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan belia.
Beliau turut memaklumkan terdapat cadangan penubuhan Startup Hub pada masa depan, bergantung kepada keperluan industri dan perkembangan semasa.
Persidangan DUN ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa potensi golongan belia, khususnya dalam bidang keusahawanan sejajar dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0.
Oleh Norman B.