

PETRA JAYA: Industri perkayuan terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak apabila nilai eksport sektor itu mencatat RM625 juta dalam suku pertama tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak berkata daripada jumlah tersebut, produk papan lapis kekal sebagai eksport utama dengan nilai RM317 juta, meningkat sebanyak empat peratus berbanding RM305 juta dalam tempoh sama pada 2024.
“Jepun kekal sebagai pasaran terbesar dengan nilai import sebanyak RM359 juta, diikuti India RM85 juta, negara-negara dari Timur Tengah RM77 juta, China RM21 juta dan Filipina RM20 juta,” katanya semasa sesi penggulungan untuk kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Selain industri kayu konvensional, beliau berkata Sarawak juga aktif membangunkan industri buluh sebagai sumber bahan mentah alternatif di mana kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk meluaskan penanaman tumbuhan itu sehingga 30,000 hektar menjelang 2030.
“Setakat April 2025, seluas 4,900 hektar kawasan telah ditanam oleh 17 syarikat komersial dan 200 peserta komuniti,” katanya.
Menurutnya, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) tahun lepas dengan empat pihak lain untuk membangunkan projek penanaman buluh di satu kawasan seluas 10,000 hektar.
Pelaksanaan itu akan dibuat menerusi kerjasama dengan Malaysian Community Care Foundation Resources Sdn Bhd, Bintulu Port Holdings Berhad, Pertama Ferroalloys Sdn Bhd dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA).
“Bagi memperkasakan lagi industri ini, beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa telah menunjukkan minat untuk melabur dalam industri hiliran untuk menghasilkan produk bernilai tinggi berasaskan buluh seperti kertas tisu, bahan pembungkusan, tekstil dan biochar,” katanya. – Bernama