Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
KUCHING: Program Dwibahasa (DLP) di Sarawak akan diperluas ke sekolah menengah mulai 2026, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata dengan pelaksanaan itu, semua pelajar Tingkatan 1 akan memasuki aliran DLP dan meneruskannya sehingga Tingkatan 5.
“Di peringkat menengah atas, inisiatif ini akan melibatkan langkah penting apabila mata pelajaran sains tulen utama, iaitu Biologi, Kimia, Fizik serta Matematik Tambahan akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau berkata program itu terus menjadi antara strategi utama untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sarawak dengan mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi membantu menyediakan pelajar supaya lebih kompetitif dan lebih bersedia menghadapi masa depan.
“Ini amat penting terutamanya ketika kita berusaha meningkatkan penyertaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta melahirkan siswazah berkualiti dalam kalangan anak Sarawak,” katanya.
Sebelum ini, program DLP Sarawak mewajibkan semua sekolah kebangsaan di Sarawak mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, termasuk Ujian Penilaian DLP (UP-DLP), iaitu satu penilaian untuk mengukur prestasi pelajar dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. – Bernama.