Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • DUN: Desak tindakan segera atasi hakisan, isu infrastruktur di Kabong
  • WILAYAH

DUN: Desak tindakan segera atasi hakisan, isu infrastruktur di Kabong

Utusan Sarawak 13 hours ago
DATO Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) ketika perbahasan Persidangan Dewan Undangan (DUN) ke-19 di sini, hari ini. Foto Jabatan Penerangan

PETRA JAYA: Dato Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong), menggesa tindakan segera daripada agensi berkaitan terhadap pelbagai isu infrastruktur dan bencana yang melanda kawasan Kabong dan sekitarnya.

Antara isu utama yang dibangkitkan ialah hakisan teruk di tebingan Sungai Seblak berdekatan Kampung Sungai Benang, Kampung Metang Desa, dan Empayang yang telah menyebabkan kemusnahan kebun-kebun petani akibat kemasukan air masin.

Beliau menyelar kelewatan tindakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sehingga kini gagal membaiki ban yang pecah sejak tahun 2021.

“Retreat bund (benteng kecil atau struktur penahan) yang dibina juga tidak memberi kesan kerana turut pecah. Tanaman seperti buah-buahan dan kelapa sawit yang menjadi punca pendapatan penduduk rosak teruk,” katanya ketika perbahasan Persidangan Dewan Undangan (DUN) ke-19 di sini, hari ini. 

Mohd Chee turut menyatakan, meskipun terdapat peruntukan sebanyak RM1.14 juta oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi projek naik taraf jalan ladang di Lubuk Grami, kawasan ini masih terjejas akibat hakisan tebing Sungai Seblak yang semakin meruncing, sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian penduduk.

Selain itu, beliau memaklumkan dua kejadian tanah runtuh pada Disember 2024 dan Januari 2025 iaitu di Rumah Panjang Jackison Erry di Ulu Roban dan di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul, Roban yang menjejaskan struktur bangunan asrama sekolah.

Walaupun laporan telah dibuat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong, tindakan di lapangan masih belum bermula.

“Saya amat bimbang jika tiada tindakan segera diambil, kejadian yang lebih buruk termasuk kehilangan nyawa boleh berlaku,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohd Chee juga menyentuh status projek Kompleks Sukan Kabong bernilai RM30 juta yang telah diluluskan melalui BDDA, namun masih belum menunjukkan perkembangan sejak lawatan tapak pada 24 Februari lalu.

“Status cadangan masih tertangguh walaupun senarai konsultannya telah dihantar ke Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sejak Januari lalu. Saya mohon kementerian berkaitan ambil tindakan segera,” tegas beliau.

Beliau turut mendesak supaya pembinaan balai bomba kategori D di Kabong disegerakan memandangkan penduduk Kabong kini mencecah lebih 15,000 orang.

Balai bomba tersebut akan menjadi aset penting dalam memberi tindak balas awal terhadap kecemasan memandangkan balai bomba terdekat kini terletak di Saratok, lebih 50 kilometer dari Kabong.

Mohd Chee berharap semua pihak bertanggungjawab dapat memberikan perhatian serius terhadap aduan yang telah berulang kali disuarakan oleh penduduk setempat, demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan kawasan Kabong.

Oleh Norman B.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: DUN: Gesa tindakan segera, bangunan uzur ancam keselamatan di SK Tanjong Bijat
Next: Parlimen Batang Lupar komited ringankan beban rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.