
PETRA JAYA: Dalam sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini, Kennedy Chukpai Ugon (GPS – Murum), membangkitkan beberapa isu utama yang menyentuh secara langsung kepentingan dan kesejahteraan rakyat di kawasannya.
Antara yang diketengahkan termasuk pembangunan infrastruktur, isu kesihatan, dokumentasi pengenalan diri, dan status pentadbiran daerah.
Tegasnya, jalan bekas balak yang menjadi satu-satunya laluan utama ke kawasan pedalaman Murum kini berada dalam keadaan kritikal – rosak teruk, berbahaya dan tidak selamat digunakan.
Namun begitu, penduduk tempatan terpaksa juga menggunakannya demi kelangsungan hidup, meskipun berdepan risiko keselamatan yang tinggi.
Sehubungan itu, Kennedy mencadangkan beberapa jalan utama dinaik taraf segera.
Antaranya, Jalan ke Lusong Laku (55km), Jalan ke Ulu Jelalong, Tubau (kiri – 60km, kanan – 28km), Jalan ke Long Unan/Senep, Tubau (32km), Jalan ke Long Lawen (20km), Jalan ke Long Koyan (15km), dan Jalan ke Rh. Ding/Rh. Ugak, Tubau (15km).
Dalam hal dokumentasi pengenalan diri, Kennedy turut meminta penjelasan daripada kementerian berkaitan mengenai status permohonan kewarganegaraan Malaysia bagi 1,133 pemohon yang dikemukakan menerusi Program Pasukan Khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Murum.
Katanya, dokumen pengenalan diri amat penting untuk membolehkan rakyat mendapat akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan perbankan.
Berkenaan isu kesihatan pula, Kennedy menggesa agar sebuah pusat hemodialisis segera dibina di Klinik Kesihatan Sungai Asap.
Ini berikutan pesakit buah pinggang di kawasan tersebut terpaksa berulang-alik ke Hospital Bintulu, Miri atau Kapit sebanyak tiga kali seminggu, dengan kos bulanan mencecah RM2,400, satu beban yang besar dari segi kewangan dan masa bagi pesakit serta keluarga mereka.
Mengakhiri perbahasan, Kennedy mencadangkan agar daerah Belaga diiktiraf sebagai Bahagian ke-13 Sarawak, dengan cadangan menaik taraf Daerah Kecil Sungai Asap sebagai Daerah Penuh serta Pekan Tubau sebagai daerah Kecil.
Menurutnya, Belaga yang merupakan daerah terbesar di Sarawak dengan keluasan 19,050 km persegi, mempunyai potensi ekonomi besar hasil daripada sumber seperti Empangan Bakun dan Murum, perladangan kelapa sawit, ekopelancongan, biodiversiti dan warisan budaya Orang Ulu.
Katanya, cadangan ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 dan mampu menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat pertumbuhan baharu di Sarawak.
Oleh Norman B.