KUCHING: Sarawak mengalami peningkatan defisit 29.8 peratus imbangan dagangan sejak lima tahun lalu.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Abdul Rahman Ismail berkata, bagi 2017, jumlah eksport adalah RM1.02 billion berbanding import RM4.61 billion.
“Ini meneyebabkan defisit RM3.59 billion, manakala pada 2021 jumlah eksport adalah RM1.11 billion berbanding import RM5.77 billion menjadikan defisit RM4.66 billion.
“Sarawak pada ketika ini (2022) masih mengalami defisit dalam imbangan dagangan bahan makanan,” katanya menjawab pertanyaan Rolland Duat Jubin (GPS-Meluan) pada sesi pertanyaan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Abdul Rahman berkata, bidang pertanian menjadi fokus utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS-2030) untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030.
Katanya, pendekatan diambil untuk merealisasikan matlamat itu dengan memberi fokus kepada pengeluaran produk agromakanan, meningkatkan penglibatan sektor swasta di bawah model perniagaan ‘perkongsian komuniti awam-swasta’ (PPCP) meningkatkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi.
Katanya, kerajaan melalui Jabatan Pertanian Sarawak telah melaksanakan program seperti pembangunan industri buah-buahan dan sayuran, tanaman kontan dan lada di kawasan DUN Meluan.
“Perusahaan aktiviti pertanian masih dilaksanakan secara berskala kecil.
“Bagi mengembangkan industri pertanian, kemeterian saya akan mengenalpasti sektor swasta yang berpotensi untuk menerajui pembangunan pembangunan industri agromakanan melalui model perniagaan PPCP.
“Durian, nanas dan pisang berpotensi dibangunkan secara komersial dan berskala besar,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN