
PETRA JAYA: Kerajaan dicadangkan mempertimbangkan peruntukan bagi membina laluan bertutup yang menghubungkan kawasan letak kereta utama dengan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Laluan bertutup itu dijangka meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan kemudahan bagi pegawai kerajaan, petugas media serta orang awam yang hadir setiap hari persidangan, kata Abdul Yakub Arbi (Balingian – GPS), yang mengemukakan cadangan tersebut.
Beliau menekankan bahawa walaupun berskala kecil berbanding agenda pembangunan negeri secara keseluruhan, penambahbaikan itu bakal meningkatkan aksesibiliti secara signifikan dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjadikan DUN Sarawak sebuah institusi moden, cekap, dan mesra rakyat.
“Setiap hari persidangan, ratusan pegawai kerajaan, petugas media dan orang awam berjalan dari kawasan letak kereta awam ke dewan yang mulia ini, selalunya di bawah terik matahari atau hujan lebat.
“Bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kemudahan mereka, saya dengan rendah hati mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan peruntukan bagi membina laluan bertutup ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025 di Persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Bajet Sarawak 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi merupakan pelan menyeluruh dan berpandangan ke hadapan yang membina ketahanan ekonomi, mempercepatkan kemajuan sosial, serta mempersiapkan Sarawak menghadapi cabaran masa depan.
“Bajet ini menempatkan rakyat sebagai pusat perhatian, mengukuhkan kemakmuran bersama, dan memastikan pembangunan inklusif berterusan di semua wilayah.
“Bagi pihak rakyat N.58 Balingian, saya menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (2026), 2025, dan memuji Premier atas penyampaian bajet yang berani, strategik, bertanggungjawab, dan benar-benar berorientasikan rakyat,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah