DUN Bukit Arip wajar dipertimbang serius – Lawrence

Facebook
WhatsApp
AHLI MDLBS Kaunselor Lawrence Lun Lupang.

SIBU: Cadangan mewujudkan sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Bukit Arip dalam Parlimen Selangau wajar diberi pertimbangan serius oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan realiti geografi, akses, pentadbiran serta keperluan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.

Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Lawrence Lun Lupang berkata, Parlimen Selangau merangkumi kawasan kira-kira 9,193 kilometer persegi dan hanya mempunyai dua kawasan DUN, iaitu DUN Tamin dan DUN Kakus. 

Katanya, dokumen cadangan meletakkan keluasan Kakus sekitar 5,701 kilometer persegi dan Tamin sekitar 3,492 kilometer persegi. 

“Keluasan keseluruhan Parlimen Selangau sebanyak 9,193 kilometer persegi turut direkodkan dalam penerbitan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Persoalan utama yang perlu dinilai bukan semata-mata jumlah pengundi, tetapi realiti fizikal kawasan luar bandar Selangau. Parlimen Selangau mempunyai hampir 50,000 pengundi yang tinggal dalam kawasan sangat luas, melibatkan ratusan rumah panjang dan penempatan yang berselerak.

“Dalam keadaan seperti ini, jarak, sistem jalan raya, sungai, bentuk muka bumi serta sempadan pentadbiran mempunyai kesan langsung terhadap keupayaan kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” ujarnya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Beliau berkata, perkara tersebut mempunyai asas yang selari dengan prinsip persempadanan yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, yang mana faktor kemudahan pentadbiran, bilangan pemilih, keluasan kawasan luar bandar, kesukaran mencapai pemilih dan hubungan setempat merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

Menurutnya, satu lagi faktor penting ialah kerumitan pentadbiran yang melibatkan kawasan yang sangat luas. 

“DUN Kakus dilaporkan merentasi kawasan pentadbiran di Bahagian Bintulu, Sibu dan Mukah serta melibatkan beberapa pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Lembaga Kemajuan Bintulu dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.

“Ini bukan sekadar persoalan keluasan di atas peta. Ia melibatkan penyelarasan antara agensi, penyelenggaraan infrastruktur, pengurusan kecemasan, kemudahan asas dan kemampuan untuk sampai kepada rakyat dengan cepat.

“Apabila satu kawasan pilihan raya terlalu luas dan masyarakatnya berselerak, wakil rakyat serta agensi kerajaan memerlukan masa dan sumber yang jauh lebih besar untuk melaksanakan pemantauan dan tindakan susulan,” jelasnya.

Lawrence berkata, pembentukan DUN Bukit Arip, sekiranya didapati memenuhi prinsip serta kriteria SPR, berpotensi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan, menjadikan perancangan pembangunan lebih fokus serta mendekatkan sistem pentadbiran dan perwakilan dengan masyarakat setempat.

“Cadangan asal Bukit Arip adalah supaya kawasan baharu itu dipertimbangkan daripada sebahagian kawasan sedia ada Tamin dan Kakus. Walau bagaimanapun, penentuan sempadan akhir merupakan bidang kuasa SPR dan perlu melalui proses yang diperuntukkan undang-undang. 

“Kerajaan Sarawak sendiri sebelum ini menjelaskan bahawa SPR mempunyai kuasa menentukan sempadan persempadanan dan perlu mengikuti protokol yang ditetapkan.

“Justeru, kita tidak mahu mendahului keputusan SPR mengenai garisan sempadan. Apa yang kita minta ialah supaya keperluan sebuah DUN Bukit Arip dinilai secara objektif dan diberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan bukti di lapangan,” ujarnya.

Beliau berkata, masa untuk mengemukakan fakta tersebut amat penting memandangkan penambahan jumlah kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 telah berkuat kuasa dan SPR kini berada dalam proses kajian persempadanan Sarawak. 

Katanya, maklumat rasmi Parlimen pada Julai 2026 menunjukkan pameran syor kajian SPR dijangka dilaksanakan sebagai sebahagian daripada proses tersebut.

“Sebagai Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, saya berpandangan bahawa PBT, pemimpin masyarakat, Tuai Rumah, Penghulu, Pemanca serta penduduk yang terlibat perlu menggunakan ruang yang disediakan dalam proses persempadanan untuk mengemukakan data dan pandangan secara teratur.

“Cadangan Bukit Arip tidak seharusnya dilihat melalui lensa politik kepartian. Ia harus dinilai dari sudut akses rakyat kepada perkhidmatan, kecekapan pentadbiran, hubungan setempat dan keadilan perwakilan masyarakat luar bandar.

“Kita menghormati kebebasan dan proses yang perlu dilaksanakan SPR. Pada masa yang sama, kita berharap realiti sebenar Selangau dapat diberikan pertimbangan yang sewajarnya agar struktur perwakilan yang diwujudkan akhirnya benar-benar memenuhi keperluan rakyat untuk tahun-tahun akan datang,” kata beliau.

Oleh Akun Giman