DUN Bukit Arip lambang harapan pembangunan lebih seimbang

Facebook
WhatsApp
KETUA PEMUDA TAMIN Kaunselor Nyireng Saleh.

SELANGAU: Impian masyarakat pedalaman memiliki Dewan Undangan Negeri (DUN) Baharu Bukit Arip kembali bergema apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mempertimbangkan pewujudan kerusi itu bagi memastikan pembangunan lebih seimbang dan suara rakyat lebih dekat dengan pembuat keputusan.

Ketua Pemuda PRS Tamin, Kaunselor Nyireng Saleh, menyifatkan cadangan pewujudan DUN Bukit Arip berkait rapat dengan masa depan masyarakat luar bandar di kawasan Tamin dan Kakus.

Menurutnya, hasrat mewujudkan DUN Bukit Arip bukan perkara baharu, malah sudah menjadi impian penduduk setempat sejak 2014.

Katanya, faktor keluasan kawasan hampir 10,000 kilometer persegi dengan hanya dua wakil rakyat di peringkat DUN, iaitu Tamin dan Kakus, perlu diberi perhatian serius kerana cabaran pembangunan di kawasan pedalaman memerlukan pendekatan yang lebih dekat dan berkesan.

“Ini bukan permintaan yang berlebihan. Kami hanya mahu suara rakyat pedalaman diberi perhatian dan pembangunan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

“Jarak yang jauh, kawasan yang luas serta keperluan masyarakat yang semakin meningkat memerlukan satu lagi kawasan perwakilan diwujudkan,” katanya.

Nyireng yang juga Exco Pemuda Pusat Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, faktor geografi dan keluasan kawasan perlu menjadi antara pertimbangan utama dalam proses persempadanan semula, sebagaimana faktor berkenaan turut diambil kira dalam pertambahan kerusi baharu di kawasan lain.

Menurutnya, kewujudan DUN Baharu Bukit Arip akan membantu memastikan peruntukan pembangunan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada masyarakat, khususnya rumah panjang dan kampung yang masih memerlukan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, tapak rumah panjang serta pelbagai infrastruktur lain.

Nyireng menegaskan bahawa ukuran kejayaan persempadanan semula bukan sekadar berdasarkan jumlah kerusi baharu yang diwujudkan, tetapi sejauh mana ia mampu memenuhi keperluan rakyat serta memastikan tiada kawasan luar bandar terus terpinggir.

“Sudah tiba masanya suara penduduk pedalaman didengari. DUN Bukit Arip bukan sekadar sebuah kerusi baharu, tetapi lambang harapan rakyat untuk pembangunan yang lebih adil, seimbang dan wakil rakyat yang lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap SPR dapat menilai cadangan itu secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor keluasan geografi, taburan penempatan, cabaran perhubungan serta keperluan pembangunan sebenar masyarakat di kawasan berkenaan.

Untuk rekod, sekiranya tiada pertambahan kerusi DUN di Parlimen Selangau, kawasan itu akan kekal sebagai antara kawasan Parlimen paling luas di Malaysia yang hanya mempunyai dua kawasan DUN.

Situasi itu dilihat wajar diberi perhatian, terutama selepas beberapa kawasan Parlimen yang mempunyai keluasan geografi besar, termasuk Hulu Rejang, Baram dan Kinabatangan, menerima pertambahan kerusi DUN menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2015 di Sarawak dan 2019 di Sabah.

Cadangan mewujudkan DUN Baharu Bukit Arip turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang, selain menjadi perbincangan dalam kalangan penganalisis politik dan pemimpin akar umbi yang melihatnya sebagai langkah penting untuk memperkukuh perwakilan serta mempercepat pembangunan kawasan pedalaman Selangau.

Oleh Akun Giman

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman