KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan disambung semula pada Selasa (29 November) susulan pengisytiharan cuti umum pada Isnin depan.
Setiausaha DUN Pele Peter Tinggom menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, ia selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 6(2), Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Bertepatan dengan pengumuman pelantikan Perdana Menteri yang baharu, dan selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 6(2), Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak, *..bahawa tidak mudah untuk Dewan bermesyuarat pada hari yang ditetapkan…” laitu pada Isnin, 28 November 2022.
“Maka, tarikh persidangan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas yang telah ditetapkan pada Isnin, 28 November 2022 sehingga hari Rabu, 30 November 2022 telah ditangguhkan pada Selasa, 29 November 2022 sehingga Khamis, 1 Disember 2022,”katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
Sementara itu, Pejabat Premier Sarawak menerusi kenyataan telah memutuskan untuk mengisytiharkan satu (1) hari cuti umum pada 28 November 2022 selaras dengan pengumuman sama Perdana Menteri yang baharu dilantik pada malam tadi.
Oleh AZREEN KERIA